
Panglima Tentera Udara Muhamad Norazlan Aris, berkata nahas pesawat F/A-18D Hornet terhempas di Pangkalan Udara Kuantan, malam tadi, juga tidak menjejaskan pertahanan udara negara.
Beliau berkata, kekuatan pertahanan udara bukan hanya bergantung kepada kuantiti pesawat dimiliki tetapi bergantung kepada kualiti aset dan kesiapsiagaan tentera udara.
“Kalau kita ada 100 pesawat pun tetapi hanya dua boleh terbang ia tiada makna juga. Jadi keupayaan kita ialah keadaan aset dimiliki sentiasa berkualiti dan dalam siap siaga,” katanya menurut Berita Harian, di Kuantan.
Beliau sebelum itu meninjau lokasi dan bangkai pesawat F/A-18D Hornet terhempas di landasan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah.
Dalam kejadian 9.05 malam tadi, pesawat itu meletup dan terhempas ketika sesi latihan terbang malam.
Dilaporkan, juruterbang Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, dan jurusensor pesawat Mohamad Izzudin Mohamad Salleh, 28, sempat keluar daripada pesawat menggunakan kerusi lenting sebelum jet itu meletup dan terhempas.
Norazlan berkata, pesawat F/A-18D Hornet terbabit digunakan sejak 1997 dan tentera udara mempunyai lapan jet pejuang model itu termasuk yang terhempas.
Beliau berkata, semua jet pejuang model itu baharu diselenggara untuk tempoh setiap 12 tahun, April lalu.