
Norazlan berkata, tindakan mereka yang didakwa berlaku di Pangkalan Udara Subang melanggar perintah, direktif, dan peraturan tentera.
“Tentera udara akan memastikan pelaku dibicara dan diadili menurut lunas dan peruntukan perundangan angkatan tentera. Perlu ditegaskan, budaya tidak sihat tersebut bukanlah suatu amalan bagi tentera udara.
“Pucuk pimpinan tentera udara menzahirkan rasa kesal dengan kejadian yang berlaku dan pihak yang gagal melaksanakan arahan juga akan diambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.
Isnin lalu, Kementerian Pertahanan mengarahkan angkatan tentera menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan individu tidak dibenarkan telah menceroboh masuk dalam kem tentera, selain berlaku aktiviti tidak bermoral di premis tersebut susulan dakwaan tular di media sosial.
Video itu memaparkan ‘budaya hiburan’ dalam kalangan pegawai tentera termasuk di Pangkalan Udara Subang, dengan satu daripadanya menunjukkan seorang lelaki melakukan perbuatan tidak sopan bersama seorang wanita.
Manakala, satu lagi video memaparkan beberapa individu sedang duduk di sebuah bar.