Pegawai Jais didakwa rasuah berkait sijil halal

Pegawai Jais didakwa rasuah berkait sijil halal

Amir Zubir mengaku tidak bersalah menerima RM8,000 bagi membantu mengurangkan kompaun.

shah alam court
Amir Zubir didakwa di Kompleks Mahkamah Shah Alam atas satu pertuduhan bawah Akta SPRM 2009 dan pertuduhan alternatif mengikut Kanun Keseksaan.
SHAH ALAM:
Seorang pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkaitan rasuah di Mahkamah Sesyen di sini.

Amir Zubir didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menerima RM8,000 daripada pemilik sebuah syarikat sebagai dorongan untuk membantu mengurangkan kompaun berkaitan sijil halal.

Menurut pihak pendakwaan, jumlah itu dimasukkan ke akaun bank Amir pada 18 Jan 2023.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000, jika sabit kesalahan.

Amir turut berdepan satu pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima barang berharga RM8,000 daripada individu sama tanpa pertimbangan wajar.

Dia berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Nasir Nordin membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya sementara menunggu kes selesai.

Amir turut diarah melaporkan diri ke pejabat SPRM sebulan sekali. Pengurusan kes ditetapkan pada 24 Sept ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.