Malaysia milik semua, kata Akmal selepas didakwa di mahkamah

Malaysia milik semua, kata Akmal selepas didakwa di mahkamah

Adun Merlimau itu berkata beliau tidak akan takut dengan tuduhan itu, yang didakwanya untuk menutup mulutnya.

Umno Youth chief Dr Akmal Saleh 22825
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata Malaysia bukan miliknya, orang Melayu atau Cina.
BUKIT MERTAJAM:
Selepas mengaku tidak bersalah di mahkamah atas catatan Facebook berkaitan isu Jalur Gemilang, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, berkata negara ini milik semua rakyat Malaysia.

Adun Merlimau itu berkata, Malaysia bukan miliknya, orang Melayu atau Cina.

“Ini negara kita semua, rakyat satu Malaysia,” katanya di luar Mahkamah Majistret di sini.

Menurutnya, beliau tidak takut dengan pertuduhan di mahkamah, yang didakwanya bagi menutup mulutnya.

“Jadi, kepada mereka yang mahu takutkan saya dengan tuduhan ini, jangan mimpi. Saya tidak akan gentar.”

Terdahulu, Akmal didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyiarkan video di akaun Facebooknya pada 11 Ogos lalu yang boleh menimbulkan kegentaran dan kegusaran awam.

Exco Melaka dalam video itu dikatakan memberi tempoh dua hari kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa seorang lelaki didakwa mengibar Jalur Gemilang terbalik.

Jika tiada tindakan diambil, Akmal berkata, beliau akan “mengajar apek itu” cara memasang bendera dengan betul.

Akmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguamnya dan kepimpinan Umno atas sokongan mereka.

“Ini bukan soal politik, bukan soal kaum. Ini soal maruah Jalur Gemilang.

“Saya akan hadapi dengan penuh tanggungjawab. Saya tidak takut hadapi perbicaraan.”

Peguam Aizat Azam berkata, pertuduhan itu tidak kukuh dan beliau yakin apa dilakukan Akmal bukan satu kesalahan.

“Kami percaya keadilan dapat ditegakkan dan insya-Allah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.