Naimah dibenar cabar tuduhan isytihar aset di Mahkamah Persekutuan

Naimah dibenar cabar tuduhan isytihar aset di Mahkamah Persekutuan

Hakim K Muniandy berkata permohonan Naimah bukan remeh dan bangkitkan persoalan penting yang wajar dapat pertimbangkan lanjut.

Naimah Khalid
Naimah Khalid dibenar merujuk beberapa persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan berhubung tuduhan gagal mematuhi notis pengisytiharan aset yang dikeluarkan SPRM.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi membenarkan Naimah Khalid merujuk beberapa persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung kesahan pertuduhan pengisytiharan aset yang dikenakan ke atas beliau.

Hakim K Muniandy memutuskan bahawa permohonan Naimah bukan remeh dan membangkitkan persoalan penting yang wajar dapat pertimbangkan lanjut.

“Soalan-soalan tersebut mewakili cabaran yang tulen dan penting terhadap undang-undang berdasarkan prinsip undang-undang terkini yang ditetapkan oleh mahkamah.

“Keputusan kes ini akan memberi kesan mendalam kepada hak individu yang dipanggil sebagai saksi, termasuk pemohon dalam siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), serta akan memperincikan lagi batas kuasa negara di bawah undang-undang tertinggi kita, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Persoalan undang-undang itu berkaitan dengan Seksyen 30(5), 36(2) dan 62 Akta SPRM 2009, serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Naimah, balu bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Januari lalu atas pertuduhan gagal mematuhi notis pengisytiharan aset yang dikeluarkan SPRM.

Sebulan kemudian, beliau memfailkan permohonan untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berkaitan peruntukan tersebut kepada Mahkamah Tinggi.

Pada 18 Feb, hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menolak permohonan itu dengan alasan ia tidak mempunyai merit dan tidak membangkitkan persoalan perlembagaan yang wajar diputuskan, menyebabkan Naimah mengemukakan rayuan.

Peguam Gurdial Singh Nijar mewakili Naimah, manakala Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How hadir bagi pihak pendakwaan.

Naimah menyifatkan keputusan hari ini sebagai kemenangan bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga untuk keadilan dan kedaulatan undang-undang.

Katanya, beliau akan terus mempertahankan kesnya dengan penuh hormat kepada undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.