
Pengurus Projek Kebangsaan dan Penasihat Teknikal GWP Malaysia, Norizal Khushairi, berkata penyertaan Malaysia menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha pemuliharaan dan melindungi hidupan yang diancam kepupusan, seperti Orang Utan Borneo, Banteng Borneo, dan Harimau Malaya.

“Penyertaan Malaysia dalam GWP ini meletakkan kita sebaris dengan negara-negara lain yang juga menghadapi cabaran besar dalam melindungi hidupan liar,” katanya kepada FMT.
Dibiayai oleh Global Environment Facility dan diterajui Bank Dunia, Malaysia menyertai 38 negara lain termasuk Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam dan Bhutan.
Projek GWP Malaysia yang berlangsung dari 2024-2028 menyediakan peruntukan USD7.13 juta (sekitar RM33 juta) dalam memperkukuh perlindungan Orang Utan Borneo, Banteng Borneo, dan Harimau Malaya serta habitat mereka.
“Namun apa yang penting, kita mahu usaha ini bukan sahaja kekal di peringkat agensi, tetapi benar-benar sampai kepada masyarakat tempatan,” kata Norizal.
Kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) melancarkan Sambutan Hari Orang Utan Sedunia di Pusat Hidupan Liar Semenggoh, pada Selasa.
Menurut Norizal, kerjasama julung kali antara GWP Malaysia dan SFC suatu pencapaian penting dalam usaha mengekalkan populasi Orang Utan Borneo.
“Projek ini juga menekankan peranan media sebagai saluran utama untuk menyampaikan mesej pemuliharaan kepada masyarakat di samping melibatkan komuniti tempatan melalui inisiatif seperti ‘Community Conservation Area’.
“Sebagai contoh, kita boleh mengetengahkan hasil kraf tangan komuniti tempatan yang tidak langsung turut menyokong aktiviti pemuliharaan spesies Orang Utan, memandangkan ada kawasan tertentu berhampiran habitat haiwan ini didiami oleh penduduk setempat,” ujarnya.