
Mahkamah Sesyen Kuantan turut memutuskan Bui Thi Ngan, 55, adiknya Bui Van Noi, 48, dan rakan mereka Bui Van Anh, 37, berdepan hukuman penjara tambahan lebih lapan tahun sekiranya gagal menjelaskan denda.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar, yang memperuntukkan denda tidak kurang RM150,000 bagi setiap hidupan liar atau bahagiannya serta penjara maksimum 15 tahun, dan Seksyen 60(1)(b) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Menurut pertuduhan, mereka didakwa menyimpan pelbagai bahagian hidupan liar dilindungi termasuk 67 bahagian babi hutan, 59 duri landak raya, empat bahagian kijang, tiga gigi gajah Asia, tiga bahagian daging babi bodoh dan tiga bahagian serigala.
Mereka juga didapati menyimpan 56 bahagian harimau belang, 493 bahagian beruang matahari, 276 bahagian harimau kumbang, 20 bahagian harimau dahan, satu kepala kambing gurun, lapan bahagian kucing tulap dan satu bahagian ular sawa.
Kesalahan itu dilakukan secara bersama di sebuah premis kediaman di Panching, Kuantan, Pahang pada 15 Nov 2023.
Hakim Maimoonah Aid memerintahkan hukuman penjara antara 15 bulan hingga 12 tahun berjalan serentak, bermula dari tarikh tangkapan pada Nov 2023.
Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Amanina Mohamad Anuar; manakala tertuduh diwakili Zaharman Zainal Abidin selaku peguam.