
Pengarah Pusat Pemuliharaan Warisan Budaya Dunia Hoi An Pham Ngoc Phu berkata, satu tinjauan lapangan dijadualkan minggu depan bagi mencari penyelesaian untuk memindahkan bangkai kapal itu ke darat, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Bangkai kapal itu ditemukan di pantai pada 2023, namun keadaan laut bergelora dan cuaca yang buruk menghalang sebarang kerja penggalian.
Menurut pusat itu, tinjauan awal pada akhir 2023 mendapati kapal itu berukuran kira-kira 15m panjang dan 3m lebar.
Kapal itu didapati mempunyai bentuk yang hampir sama dengan kapal dagang yang digunakan oleh penduduk Hoi An pada abad lalu.
Pusat itu turut menyatakan bahawa beberapa serpihan seramik purba yang dipercayai berasal dari abad ke-17 hingga ke-18 ditemui sebelum ini dan lebih 20 bangkai kapal yang ditemui di Laut Timur (Laut China Selatan) diklasifikasikan sebagai berasal dari abad ke-14 hingga ke-16.
Hoi An, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco, pernah menjadi pelabuhan perdagangan yang sibuk di tengah Vietnam sejak abad ke-14.
Sebuah bangkai kapal berhampiran Kepulauan Cham, di luar pesisir pantai Hoi An, dipulihara antara 1997 hingga 1999, dengan sisa kapal berukuran 29.4m panjang dan 7.2m lebar.