
Nur Nina Farisha Woo Abdullah, yang lebih dikenali sebagai Nina Grace, dan Mohamad Zulaiman Din, masing-masing berusia 28 tahun, didakwa menyimpan lima ekor ular sawa, seekor iguana dan seekor kura-kura iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Alam Damai, Cheras di sini pada 4.30 petang 20 Sept lepas mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta 716 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, lapor Bernama.
Peruntukan ini membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Mas Izzaty Lokman memohon setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua tuduhan berserta syarat tambahan pasangan itu perlu melapor diri ke pejabat Perhilitan berhampiran sebulan sekali.
Pasangan yang tidak diwakili peguam itu merayu jaminan rendah atas alasan perlu menanggung dua anak kecil.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin membenarkan pasangan itu masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua tuduhan berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 8 Jan tahun depan sebagai tarikh sebutan kes.