
Beliau berkata, pengguna tahu apa yang patut dipilih dan dielakkan.
“Jadi, saya tidak melihat penggunaan frasa sedemikian mengelirukan. Tumpuan patut diberikan ke atas ketelusan dan pendidikan, bukan peraturan berlebihan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas peringatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bahawa premis tanpa sijil halal dilarang mempamerkan label “no pork, no lard” atau “mesra Muslim”.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan pensijilan halal.
Jais menjelaskan, mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, undang-undang melarang sebarang penggunaan terma atau label boleh mengelirukan pengguna.
Lau berkata, frasa “no pork, no lard” hanya perihalan fakta berhubung apa yang tidak dihidangkan dan tidak boleh dianggap makanan itu halal.
Label sedemikian juga bermanfaat bagi penganut Hindu yang tidak makan daging itu atas faktor kesihatan.
“Restoran yang mengambil inisiatif tidak menghidangkan daging babi atau lemak babi patut mendapat pengiktirafan, walaupun ia tidak disahkan halal.”
Tetapi, bekas menteri hal ehwal agama, Mujahid Yusof Rawa, berkata premis makanan yang ingin menembusi pasaran Islam tidak patut bergantung kepada label sedemikian.
“Daripada menggunakan frasa itu, dapatkan saja sijil halal. Ia jelas dan mudah,” kata timbalan presiden Amanah itu ketika dihubungi.
Seperti Lau, Mujahid berkata, label “no pork, no lard” tidak boleh disalah anggap sebagai makanan itu disahkan halal.
Tetapi dalam sesetengah kes, katanya, pensijilan halal “bukan satu kemestian”.
Beliau memberi contoh gerai yang menjadi pilihan umat Islam sejak turun-temurun.
“Apabila sesuatu telah dipercayai sejak turun-temurun, kita tidak perlukan pensijilan.”