Perpaduan tak terbentuk hanya dengan satu aliran sekolah, kata Fadhlina

Perpaduan tak terbentuk hanya dengan satu aliran sekolah, kata Fadhlina

Menteri pendidikan berkata, perpaduan nasional dibina menerusi pengalaman, interaksi dan penerapan nilai yang konsisten sepanjang tempoh persekolahan.

Guru, murid sekolah rendah
Fadhlina Sidek berkata, KPM jalan pelbagai inisiatif untuk pupuk perpaduan di sekolah kebangsaan.
PETALING JAYA:
Perpaduan nasional dalam kalangan kanak-kanak tidak terbentuk semata-mata dengan mewujudkan satu sistem persekolahan untuk semua murid, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Menjawab soalan Parlimen mengenai penubuhan ‘sekolah perpaduan’ bagi menggantikan sekolah kebangsaan, Fadhlina menjelaskan kementeriannya mempunyai pelbagai inisiatif yang berfungsi memupuk perpaduan di sekolah kebangsaan, sama ada menerusi kurikulum, aktiviti kokurikulum, tugas harian mahupun penglibatan komuniti.

Beliau berkata, nilai-nilai yang disemai dalam kalangan kanak-kanak di Tabika Perpaduan telah diperkukuh dan diperluas ke peringkat sekolah kebangsaan.

Menurutnya, langkah ini bertujuan menjadikan sekolah kebangsaan sebagai institusi pendidikan utama negara sambil memastikan ia bersifat inklusif dan berbilang kaum, dengan perpaduan nasional sebagai teras utamanya.

“Selain itu, Kementerian Pendidikan (KPM) yakin dan percaya perpaduan nasional tidak dibina melalui satu jenis sekolah, tetapi melalui nilai, pengalaman dan interaksi
yang konsisten sepanjang persekolahan,” katanya dalam jawapan bertulis.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Zulkafperi Hanapi (Bebas-Tanjong Karang) yang meminta penjelasan mengenai bagaimana Tabika Perpaduan memupuk perpaduan dalam kalangan kanak-kanak dan sama ada kementerian bercadang menubuhkan ‘sekolah perpaduan’ untuk menggantikan sekolah kebangsaan.

Fadhlina berkata, Tabika Perpaduan, yang menempatkan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun, telah terbukti membentuk asas perpaduan dalam kalangan murid sebelum mereka melangkah ke sekolah rendah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.