Bekalan makanan terjamin tapi sedia hadapi kejutan harga, kata pakar

Bekalan makanan terjamin tapi sedia hadapi kejutan harga, kata pakar

Nazim Rahman beri amaran gangguan global semakin meningkat akan dorong kenaikan harga sekali gus dedah kelemahan struktur dan menekan kewangan awam.

Ahmad Nazim Abdul Rahman
Pakar berkata subsidi kerajaan tidak seharusnya sekadar mengurangkan kos sebaliknya perlu mendorong penambahbaikan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rakyat Malaysia perlu bersedia menghadapi kenaikan harga makanan apabila gangguan rantaian bekalan global semakin memuncak, dengan kebergantungan tinggi negara kepada import menjadikannya terdedah kepada kejutan luaran, kata pakar.

Nazim Rahman, yang bertugas dengan dana komoditi global di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan penasihat kepada menteri perladangan dan komoditi berkata, cabaran sebenar bukan pada ketersediaan makanan tetapi kemampuan untuk membelinya.

“Pada pandangan awal, keadaannya nampak meyakinkan. Rak pasar raya masih penuh. Tiada kekurangan besar. Rakyat Malaysia tidak kebuluran.

“Namun, kestabilan luaran ini menyembunyikan masalah yang lebih mendalam. Isu sebenar bukan sama ada makanan ada, tetapi sama ada ia masih mampu dibeli,” katanya.

Beliau berkata, konflik berterusan di Asia Barat sekali lagi menggoncang rantaian bekalan global, dengan ketidaktentuan harga minyak dan penghantaran mula mendorong kenaikan harga makanan.

Katanya, kebergantungan Malaysia kepada import bagi barangan penting seperti baja, daging lembu, produk tenusu, makanan ternakan dan beberapa jenis sayur menyebabkan kenaikan harga global cepat dirasai di dalam negara.

“Apabila harga global meningkat, kesannya serta-merta dan tidak dapat dielakkan. Kos import naik. Pengeluar memindahkan kos ini sepanjang rantaian bekalan. Harga runcit meningkat. Pengguna merasai tekanannya,” katanya.

Nazim berkata, campur tangan kerajaan melalui subsidi dan kawalan harga membantu mengurangkan kesan terutama kepada golongan berpendapatan rendah, namun memberi amaran ia datang dengan kos fiskal yang semakin meningkat.

“Setiap kali kerajaan campur tangan untuk menstabilkan harga, ia menanggung beban fiskal. Subsidi bertambah. Peruntukan belanjawan meningkat.

“Lama-kelamaan, keadaan ini sukar untuk dikekalkan, terutamanya apabila kejutan berlaku berulang kali,” katanya.

Katanya, situasi ini menjadikan keselamatan makanan bukan lagi sekadar isu pertanian, tetapi juga fiskal dan politik.

“Apabila harga naik mendadak, tekanan awam meningkat. Kerajaan perlu bertindak pantas untuk mengelakkan kesusahan.

“Namun, campur tangan yang kerap menekan kewangan awam dan mengehadkan keupayaan untuk melabur dalam penyelesaian jangka panjang. Akhirnya, kita hanya merawat simptom, bukan punca,” katanya.

Beliau menyifatkan, sistem makanan Malaysia sebagai dibina untuk kecekapan, bukan ketahanan, sambil memberi amaran negara berisiko mengulangi kitaran kejutan harga diikuti campur tangan yang mahal.

“Kedudukan pertengahan ini mewujudkan kerentanan khususnya dari sudut fiskal.

“Jika kita terus di landasan semasa, setiap kejutan luaran akan mencetuskan tindak balas yang sama: harga meningkat, diikuti subsidi dan kawalan, kemudian tekanan fiskal yang semakin berat,” katanya.

Nazim berkata, negara lain menawarkan pengajaran dalam mengurus risiko ini secara lebih strategik.

Beliau merujuk pendekatan China yang melabur besar dalam pengeluaran domestik dan mengekalkan rizab besar untuk menstabilkan bekalan ketika turun naik harga global.

“Apabila harga global berubah, penampan ini membantu menstabilkan bekalan dan mengurangkan tekanan segera ke atas pengguna,” katanya.

Nazim turut menyorot strategi Singapura yang mempelbagaikan sumber import dan melabur dalam pertanian luar negara bagi mengurangkan risiko bekalan.

“Apabila satu sumber terjejas, sumber lain boleh mengisi kekosongan.

“Bagi Malaysia, yang masih bergantung kepada saluran import yang agak tertumpu bagi sesetengah produk, ini adalah pengajaran penting,” katanya.

Menurutnya, beberapa negara Teluk mengambil pendekatan lebih langsung dengan melabur dalam rantaian bekalan global, memperoleh tanah pertanian di luar negara dan mendapatkan kontrak jangka panjang.

“Ini mencerminkan satu pemahaman jelas: keselamatan makanan bukan hanya tentang apa yang dihasilkan, tetapi apa yang boleh diakses dan dikawal,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia perlu beralih daripada pendekatan reaktif kepada membina sistem yang mampu menyerap kejutan sebelum ia sampai kepada pengguna.

“Kita perlukan sistem yang dapat mengurangkan turun naik,” katanya, sambil menyebut penambahbaikan stok simpanan, ramalan yang lebih baik dan pengedaran lebih cekap sebagai langkah perlindungan utama yang perlu diperkukuh.

Nazim turut menggesa penstrukturan semula subsidi. “Subsidi tidak seharusnya sekadar mengurangkan kos, tetapi mendorong penambahbaikan,” katanya.

Katanya, kepelbagaian sumber bekalan dan penyelarasan lebih kukuh antara agensi kerajaan juga penting, memandangkan keselamatan makanan kini diurus oleh pelbagai badan dengan tanggungjawab bertindih.

“Pendekatan yang lebih selaras akan meningkatkan perancangan dan tindak balas,” katanya.

Nazim mengakui, membina ketahanan memerlukan kos awal, namun memberi amaran bahawa kegagalan bertindak akan menyebabkan kos lebih tinggi dalam jangka panjang.

“Kos ini boleh dijangka dan diurus tetapi tidak untuk kos akibat campur tangan krisis berulang,” katanya.

Menurutnya, kejutan bekalan semasa didorong sepenuhnya oleh geopolitik, perubahan iklim dan dinamika perdagangan yang berubah.

“Malaysia tidak boleh mengawal faktor ini. Tetapi kita boleh mengawal tahap kesiapsiagaan kita.

“Jika kita tidak bertindak, kejutan seterusnya bukan sahaja akan menguji rantaian bekalan kita, malah akan menguji had fiskal negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.