
Zulazren Zakariah, 31, didakwa di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli namun tiada pengakuan direkodkan daripada kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, Zulazren didakwa menikam dada Muhammad Amirul Rashid Mohd Niza, 28, dengan menggunakan pisau hingga menyebabkan kematian lelaki itu.
Zulazren didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Seri Pagi, Senawang pada kira-kira 6.50 petang, 11 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nor Aqilah Syarfa Nik Zaidi.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 17 Okt untuk sebutan semula bagi mengemukakan laporan kimia, DNA dan bedah siasat.
Media melaporkan seorang lelaki yang juga duda maut akibat ditikam di dada dalam kejadian di hadapan rumah keluarganya di Taman Seri Pagi.
Siasatan awal mendapati, insiden berpunca daripada perselisihan faham antara suspek berusia 31 tahun dengan mangsa.