
Penganalisis berkata Barisan Nasional (BN) wajar berhati-hati kerana MIC masih memiliki jaringan akar umbi dan pengundi tradisi yang berpengaruh di kawasan tertentu, meskipun parti itu kelihatan kecil dari segi bilangan kerusi Parlimen.
“Misalnya Segamat, Tapah dan Sungai Siput. Jika rasa tidak puas hati itu tidak ditangani, ia mungkin membawa kepada tindakan protes ahli dan penyokong dengan tidak turun mengundi atau memilih parti lawan sebagai tanda kecewa,” kata Awang Azman Awang Pawi kepada FMT.
Pakar di Universiti Malaya itu beri amaran: “pengalihan sebanyak 2% hingga 5% undi India di kawasan campuran cukup untuk menentukan kekalahan atau kemenangan sesuatu kerusi.”
Presiden SA Vigneswaran kelmarin mengakui MIC ada melakukan perbincangan tidak rasmi dengan Perikatan Nasional (PN), yang menyentuh hala tuju parti itu.
Sebelum ini, Timbalan Presiden M Saravanan berkata MIC tidak menerima sebarang lantikan menteri atau timbalan menteri walaupun mempunyai kerusi di Parlimen, dan mendakwa seolah-olah dipinggirkan.
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia percaya tidak banyak yang Umno boleh lakukan untuk MIC pada ketika ini.
“Secara praktikalnya memang tak banyak Umno dapat janjikan,” katanya. “Perkara yang boleh Umno lakukan tak banyak melainkan pujuk-memujuk, yang tidak akan mendapat apa-apa keputusan berisi.
“Jadi MIC perlu berfikir sendiri sama ada lebih baik atau tidak untuk menjalin kerjasama dengan PN daripada meminta Umno untuk membuat sesuatu.”
Meskipun MIC mungkin peroleh lebih banyak kerusi untuk ditandingi jika bekerjasama dengan PN, Lau berkata bilangan itu tidak membawa sebarang makna jika tidak dapat memenanginya.
MIC Kedah dilaporkan meluluskan usul bekerjasama dengan PN pada PRU16, dalam mesyuarat agung tahunan peringkat negeri 8 Ogos lalu.
Keesokannya, MIC Pulau Pinang dilapor meluluskan usul keluar Barisan Nasional (BN) dalam mesyuarat agung tahunannya.
Vigneswaran berkata pimpinan MIC meneliti dengan serius usul daripada akar umbi, dan keputusan yang akan diambil nanti untuk kebaikan parti di masa depan.