Anwar bertemu Hajiji, Zahid di tengah ancaman pertembungan GRS-BN

Anwar bertemu Hajiji, Zahid di tengah ancaman pertembungan GRS-BN

Pertemuan tiga tokoh itu menarik perhatian dalam konteks pembentukan kerjasama menjelang PRN Sabah tidak lama lagi.

Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Zahid Hamidi dan Hajiji Noor di Putrajaya, hari ini. (Gambar Facebook Anwar Ibrahim)
PETALING JAYA:
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Zahid Hamidi dari Barisan Nasional (BN) dan Hajiji Noor dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini.

Perdana menteri berkata pertemuan dalam suasana harmoni itu mencerminkan kematangan politik serta iltizam memperkukuh kerjasama demi kestabilan negara, khususnya dalam konteks hubungan antara Putrajaya dan Sabah.

Menurutnya, kestabilan politik menjadi asas penting dalam menjayakan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Justeru, kerjasama erat antara pemimpin negeri dan persekutuan amat penting dalam memastikan aspirasi rakyat dapat direalisasikan secara menyeluruh dan inklusif.

“Saya berharap semangat muafakat ini akan terus menjadi asas kepada perpaduan nasional yang lebih kukuh, demi masa depan Malaysia yang progresif, adil dan sejahtera untuk semua,” katanya di Facebook.

Pertemuan itu menarik perhatian dalam konteks pembentukan kerjasama menjelang PRN Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Mei lalu, BN dan PH mengumumkan kerjasama untuk menghadapi pilihan raya itu.

Namun pada 27 Julai lalu, Hajiji mengumumkan pula GRS serta PH telah bersetuju membentuk pakatan untuk PRN itu.

Pada 3 Ogos, Anwar dilaporkan berkata perbincangan sedang berlangsung antara BN, GRS dan PH bagi mencapai persefahaman untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada PRN Sabah.

Bagaimanapun, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin menegaskan BN tidak akan bekerjasama dengan GRS dan sebarang pakatan hanya dibentuk selepas PRN terbabit.

Pendirian Bung Moktar itu jika diteruskan bakal menyebabkan pertembungan di antara dua gabungan berkenaan.

Umno Sabah dan GRS sebelum ini merupakan dalam kerajaan negeri, namun kerjasama itu runtuh selepas Bung Moktar gagal menyingkirkan Hajiji sebagai ketua menteri pada Januari 2023, dalam satu gerakan dikenali ‘Langkah Kinabalu’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.