Hanya hal perniagaan masih dalam rundingan Petronas-Petros, kata TPM

Hanya hal perniagaan masih dalam rundingan Petronas-Petros, kata TPM

Fadillah Yusof berkata kerajaan harap rundingan segera diselesaikan bagi memudahkan pelaburan dan operasi perniagaan di Sarawak.

Fadillah Yusof
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata kerajaan berharap rundingan itu dapat diselesaikan segera. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Hanya perbincangan berkaitan pentadbiran dan komersial masih belum dimuktamadkan dalam rundingan antara Petronas dan Petros milik Sarawak, yang dijangka selesai tidak lama lagi, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Walaupun tiada tempoh masa ditetapkan, kerajaan berharap rundingan itu dapat diselesaikan segera bagi memudahkan pelaburan dan operasi perniagaan sama ada di luar pesisir mahupun daratan.

“Itu yang kita mahu percepatkan kerana ia akan memudahkan pemain industri melaksanakan aktiviti harian mereka,” lapor The Borneo Post memetik kenyataannya di Kuching hari ini.

Fadillah mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said di Parlimen semalam bahawa Petronas dan Petros masih belum memuktamadkan terma serta mekanisme pelaksanaan deklarasi bersama mengenai pengagihan gas, meskipun hampir tiga bulan berlalu sejak ia ditandatangani.

Azalina berkata kedua-dua pihak masih membincangkan butiran rangka kerja kerjasama berdasarkan prinsip yang dipersetujui, selaras dengan pertimbangan komersial.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Abang Johari Openg menandatangani deklarasi bersama itu pada Mei lalu, yang menjadi asas kerjasama antara Petronas dan Petros.

Petros telah dilantik sebagai aggregator gas bagi pasaran domestik Sarawak mulai 1 Mac.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.