
Fadillah Yusof menerangkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu hanya salah satu pemegang saham dalam IJM, dan setiap pemegang saham akan menilai tawaran am terbuka secara individu selaras amalan biasa pasaran modal.
“Tawaran daripada Sunway hanya akan berjaya jika lebih daripada 50% pemegang saham IJM menerima tawaran tersebut,” katanya semasa menggulung perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat.
“Sebagai pemegang saham minoriti IJM dengan pegangan kurang daripada 13.5%, PNB tidak dapat mempengaruhi sama ada tawaran Sunway akan berjaya atau tidak.”
Dalam pada itu, Fadillah menerangkan bahawa tawaran oleh Sunway merupakan tawaran am sukarela, dibuat secara sama rata kepada semua pemegang saham IJM.
Katanya, tawaran itu bukan urus niaga yang dirundingkan dengan mana-mana pemegang saham tertentu, atau disasarkan kepada PNB atau mana-mana institusi lain.
“Mana-mana pihak lain yang berminat boleh mengemukakan tawaran alternatif yang kompetitif,” katanya.
IJM salah satu konglomerat terkemuka tanahair, dalam bidang pembinaan, hartanah, industri serta prasarana seperti tol dan pelabuhan.
Penjelasan ini menyusuli desakan pembangkang yang menggesa kerajaan menjelaskan urusniaga melibatkan Sunway dan IJM, di sebalik kebimbangan mengenai implikasinya ke atas agenda ekonomi Bumiputera.
Menyentuh tawaran kepada PNB, Fadillah berkata GLIC itu akan membuat penilaian dengan mengambil kira aspek komersial, seperti nilai tawaran berbanding nilai intrinsik, keuntungan pelaburan, dan pelan strategik pasca pengambilalihan.
“Sebarang keputusan oleh PNB sama ada untuk menerima atau menolak tawaran akan dibuat secara bebas, tertakluk kepada proses tadbir urus dan kelulusan dalaman,” tambahnya.
Tawaran Sunway melalui anak syarikatnya, Fortuna Gembira Enterprise, melibatkan pengambilalihan keseluruhan 3.51 bilion saham IJM Corp pada harga RM3.15 sesaham.
Urus niaga ini dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga 2026, dengan tarikh tutup tawaran ditetapkan pada 6 April.