Inkues Zara Qairina: Elak campur tangan, tekanan luar, kata pemimpin PN

Inkues Zara Qairina: Elak campur tangan, tekanan luar, kata pemimpin PN

Saifuddin Abdullah berkata inkues perlu adil untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan dan penguatkuasaan susulan kematian Zara Qairina Mahathir, bulan lalu.

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah gesa semua bukti perlu dibentangkan secara menyeluruh, termasuk keterangan saksi dan laporan forensik lengkap dalam inkues.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) berharap inkues ke atas kematian Zara Qairina Mahathir dijalankan secara telus, adil dan berintegriti untuk merungkai kebenaran dinantikan ramai.

Ketua Portfolio Pendidikan PN Saifuddin Abdullah berkata prosiding adil diperlukan untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan dan penguatkuasaan.

“Saya berharap inkues ini akan dijalankan tanpa campur tangan atau tekanan daripada mana-mana pihak.

“Semua bukti perlu dibentangkan secara menyeluruh, termasuk keterangan saksi dan laporan forensik yang lengkap,” katanya dalam kenyataan media.

Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk menjalankan inkues terhadap kematian Zara Qairana, bulan lalu, selepas meneliti laporan siasatan polis.

Prosiding itu bertujuan menentukan punca dan sebab kematian termasuk mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian pelajar tingkatan 1 berkenaan.

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi 16 Julai lalu, selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah. Dia meninggal dunia di hospital keesokannya.

Kematiannya mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.

Pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan arahan menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dijalankan ke atas jenazah Zara Qairina yang tidak dibuat selepas kematiannya.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota menyokong tuntutan ibu Zara Qairina supaya keluarga dilibatkan dalam prosiding inkues.

Beliau juga berharap mahkamah, peguam negara dan pihak terbabit dapat mengendalikan inkues ini dengan penuh integriti.

“Keputusan inkues mestilah berpaksikan fakta, undang-undang, dan prinsip keadilan, bukannya pengaruh luar atau kepentingan tertentu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.