Polis gesa Rafizi buat laporan rasmi berkait mesej ancaman

Polis gesa Rafizi buat laporan rasmi berkait mesej ancaman

Ketua polis Selangor berkata siasatan tetap dijalankan namun laporan rasmi akan membantu jika tindakan lanjut perlu diambil.

shazeli kahar
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata, enam saksi telah memberi keterangan berhubung serangan terhadap anak Rafizi Ramli di Putrajaya semalam, termasuk Ahli Parlimen Pandan itu dan isterinya. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar menggesa bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli untuk membuat laporan polis berhubung mesej-mesej ancaman yang diterima oleh isterinya pagi tadi.

Shazeli berkata, siasatan akan tetap dijalankan, namun laporan rasmi akan membantu sekiranya tindakan lanjut diperlukan.

“Siasatan sedang dijalankan dalam aspek tersebut, cuma kita minta supaya laporan polis dibuat supaya (ada) laporan yang rasmi. Sekiranya ada tindakan seterusnya, (laporan rasmi) akan membantu kita.

“Siasatan memang kita buat, apa maklumat yang kita terima pun kita akan siasat,” katanya pada sidang media.

Mesej ancaman itu dikatakan diterima sehari selepas anak lelaki Rafizi berusia 12 tahun dicucuk dengan jarum dalam satu serangan di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya semalam.

Berdasarkan rakaman CCTV, dua individu berpakaian serba hitam dan memakai topi keledar penuh dipercayai mengekori kereta isteri Rafizi dengan menaiki motosikal sebelum kejadian.

Shazeli berkata, enam saksi telah memberi keterangan berhubung serangan itu, termasuk Rafizi dan isterinya.

Awal hari ini, Rafizi mendedahkan isterinya menerima dua mesej ancaman daripada nombor yang tidak dikenali.

Dua mesej yang dihantar masing-masing pada 1.12 pagi dan 11.02 pagi, berkata, “Diam! Andai teruskan, AIDS.” Mesej kedua yang dihantar turut disertai tiga emoji picagari.

Rafizi berkata, beliau mengesyaki serangan itu berkait dengan satu kes yang sedang disiasatnya. Menurutnya, beliau baru sahaja bertemu dengan sekumpulan pemberi maklumat minggu lepas.

Apabila ditanya sama ada polis sudah dapat menentukan kandungan picagari yang digunakan untuk menyuntik anak Rafizi, Shazeli berkata: “Belum lagi. (Pihak) hospital sudah ambil sampel dan sedang uruskan untuk analisis.”

Mengenai sama ada kejadian itu bermotifkan politik atau peribadi, beliau berkata, perkara itu masih belum ditentukan.

“Belum dapat ditentukan lagi (motifnya). Masih di peringkat awal siasatan, jadi beri ruang dan peluang untuk polis jalankan siasatan yang lebih terperinci. Kita tidak mahu buat kesimpulan terlalu awal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.