
Mengulas kenyataan Isham Jalil yang pemimpin PAS patut diangkat sebagai perdana menteri atas sebab itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata tidak tepat menganggap rasuah dan politik wang boleh diselesaikan hanya berdasar hujah berkenaan.
Menurutnya, pandangan sedemikian bersifat ‘pukul rata’ dan tidak mencerminkan realiti, memandangkan pelbagai bentuk rasuah turut dilaporkan berlaku di negeri diterajui PAS.
“Mereka perlu membuktikan dahulu bahawa boleh melakukan yang terbaik di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

“Jangan hanya tumpu pada isu rasuah, tetapi juga kepada aspek tadbir urus yang baik dan mampu menjana kemakmuran rakyat,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Isham, bekas pemimpin Umno berkata beliau mahu bekerjasama dengan PAS bagi mengangkat pemimpin parti itu sebagai perdana menteri kerana yakin akan keupayaannya membanteras rasuah dan politik wang.
Isham berkata, Malaysia kini berdepan masalah tersebut, termasuk pemberian projek kepada taikun sebagai balasan rasuah, yang didakwanya turut menjadi punca kekalahan Umno dan BN pada PRU14 pada 2018.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berkata, faktor lain juga perlu diambil kira dalam memilih individu untu mengetuai Putrajaya.
Jelasnya, seseorang perdana menteri perlu berkemampuan merangka dasar, mengurus kewangan dan memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

“Pemimpin yang baik bukan sahaja bebas rasuah, tetapi juga perlu mentadbir kerajaan dengan berkesan.
“Jika kriteria hanya aspek bersih sesiapa pun boleh menjadi perdana menteri,” katanya.
Isu calon perdana menteri atau ‘poster boy’ bagi PN pada PRU16 antara perkara sering dibangkitkan dan menimbulkan percanggahan satu sama lain.
November tahun lalu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menafikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin disahkan sebagai calon rasmi PN untuk PRU16, sambil menegaskan partinya wajar mengetuai gabungan itu.
Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar antara pemimpin PAS disebut-sebut berpotensi diangkat calon mengetuai Putrajaya.
Namun, beberapa pemimpin dalam Bersatu dan Gerakan terus menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai calon utama perdana menteri mewakili PN.
Bagaimanapun, pada 29 Julai lalu Hashim mengatakan PN hanya memutuskan siapa yang bakal menjadi calon perdana menterinya selepas gabungan itu berjaya mengambil alih pentadbiran Putrajaya.