DAP taja Jalur Gemilang gergasi di kedai P Pinang

DAP taja Jalur Gemilang gergasi di kedai P Pinang

Setiausaha Agung Loke Siew Fook bidas ugutan protes dan cubaan menekan AGC untuk dakwa pemilik kedai perkakasan.

jalur gemilang terbalik
Pemilik kedai perkakasan berusia 59 tahun ditahan minggu lalu selepas dirakam memegang Jalur Gemilang terbalik dalam video tular.
PETALING JAYA:
DAP akan menaja Jalur Gemilang gergasi untuk dipasang pada premis kedai di Pulau Pinang yang baru-baru ini mencetuskan kritikan kerana didakwa memasang terbalik bendera negara.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, berkata bendera tersebut akan dipasang petang ini supaya orang ramai boleh melihat Jalur Gemilang itu telah dipasang dengan betul.

Dalam kenyataan, beliau berkata ahli DAP negeri akan mengedarkan percuma 831 Jalur Gemilang sebagai tanda semangat perpaduan sempena 31 Ogos, jika ada mana-mana pihak cuba mengganggu ketenteraman di kawasan premis itu.

“Ini adalah tindakan buli secara terang-terangan yang tidak boleh diterima sama sekali. Bukan sahaja tindakan buli di sekolah perlu ditentang, tindakan buli terhadap warga emas juga perlu dibantah sekeras-kerasnya,” katanya mengkritik pihak berkenaan yang ugut mengadakan protes di depan kedai andai tidak ada pendakwaan dalam masa terdekat.

“Namun, untuk menangani pihak kurang matang seperti ini, kita perlu menunjukkan kewarasan berfikir yang lebih tinggi dan menggunakan cara yang aman dan beradab.”

Loke juga membidas pihak sama yang cuba memberi tekanan terbuka kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa pekedai di Pulau Pinang itu, sebagai ‘tindakan mencampuri dan cuba mempengaruhi keputusan pendakwaan tanpa pertimbangan yang sewajarnya’.

“Pihak peguam negara perlu diberi ruang secara bebas untuk membuat sebarang keputusan tanpa apa-apa tekanan politik,” katanya.

Meskipun Loke tidak menamakan pihak dimaksudkan, namun semalam Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengingatkan beliau akan mengadakan bantahan di premis berkenaan jika pemilik tidak didakwa pada Khamis. Beliau dilaporkan berkata untuk ‘ajar apek ini cara bagaimana nak pasang bendera dengan betul’.

Pemilik kedai perkakasan berusia 59 tahun itu telah ditahan minggu lalu selepas dirakam memegang bendera secara terbalik dalam satu video tular.

Dia berkata, insiden itu berlaku semasa mengukur sebatang tiang besi dan telah membetulkan kesilapan itu dengan serta-merta, namun ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Alwi Zainal Abidin, berkata kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.