
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi, berkata ada beberapa personaliti dalam MCA yang berkeras mendesak parti itu keluar BN, termasuk Ti.
Adun Rengit itu mendakwa Ti mempunyai agenda peribadi berbuat demikian, khususnya untuk bertanding pada PRU16.
“Peluang (bertanding PRU16) tertutup rapat bagi dirinya jika BN bekerjasama dengan DAP. Lagi pun peluang menang lagi cerah jika dapat sokongan penuh daripada PAS,” katanya di Facebook.
“Berbanding Gerakan, Lian Ker yakin PAS akan pilih MCA yang jauh lebih berstruktur. PAS sanggup pinggirkan Gerakan,” katanya.
Ti, ketua MCA Kuantan, berkhidmat sebagai Adun selama tiga penggal dari 1995 hingga 2008.
Beliau tidak bertanding pada PRU 2022 walaupun ditawarkan peluang di kerusi Parlimen Indera Mahkota, sambil berkata beliau sebaliknya lebih bersedia bertanding di kerusi Raub atau Kuantan.
Semalam, Ti berkata MCA mesti memutuskan sama ada ingin keluar atau kekal dalam BN memandangkan Umno dan DAP menjalin hubungan yang lebih erat.
Pada Jun, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata sebarang keputusan mengenai masa depan parti itu dalam kerajaan perpaduan dan BN hanya akan dibuat semasa perhimpunan agungnya.