
Ketua Pengarah Pendidikan Mohd Azam Ahmad berkata pegawai juga perlu melawat sekolah berasrama, bukan sahaja untuk memantau malah mendekati dan memahami kehidupan pelajar di asrama.
“Mungkin kita kena turun tanpa ada perancangan dan tanpa diberitahu.
“Kita turun ke sekolah, tengok keadaan sekolah, kita nak tengok ‘nature’ sekolah itu macam apa berlaku. Kita mungkin turun malam nak tengok di asrama,” kata yang dipetik Bersama sebagai berkata.
Azam berkata KPM juga mengarahkan pengetua dan guru besar mewajibkan laungan ‘Kami Benci Buli’ sebelum dan selepas sesi persekolahan, sebagai peperangan terhadap gejala buli.
Terdahulu hari ini, Azam dalam satu kenyataan berkata KPM melaksanakan beberapa langkah membendung kes buli dan memastikan keselamatan pelajar di institusi pendidikan di bawah seliaannya.
Katanya, langkah ini termasuk penambahbaikan SOP keselamatan sekolah dan tatacara menangani masalah disiplin, termasuk kes buli.
“SOP dan garis panduan sedia ada akan dikaji semula bagi memastikan ia relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan. Audit keselamatan akan dilaksanakan segera di semua institusi pendidikan, termasuk sekolah berasrama.
Langkah ini susulan kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir, yang ditemui tidak sedarkan diri pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, keesokan harinya.
Jabatan Peguam Negara kemudian mengarahkan polis menggali semula mayatnya untuk bedah siasat bagi melengkapkan siasatan kematian tersebut.
Kematian Zara Qairina turut mencetuskan perhimpunan di beberapa lokasi di Sabah pada Jumaat lalu.