
Ketua DHPP, N Balasubramaniam, merujuk situasi di Kedah, yang mana tiada isu besar membabitkan kaum India bawah pentadbiran PN berbanding negeri lain terutama ditadbir Pakatan Harapan (PH).
“Ini menunjukkan bawah pentadbiran PN, kita membela semua kaum. Kesedaran inilah yang mungkin mendorong MIC Kedah mengusulkan kerjasama dengan PN,” katanya kepada FMT, mengulas usul diluluskan MIC Kedah untuk bekerjasama dengan PN pada PRU akan datang.
Perkara itu dibangkitkan seorang perwakilan MIC Kedah pada mesyuarat agung tahunan peringkat negeri kelmarin yang turut dihadiri Presiden SA Vigneswaran.
Pengerusi MIC Kedah, SK Suresh, bagaimanapun berkata usul itu akan dibawa ke peringkat pusat dan ditentukan kepimpinan tertinggi parti, lapor China Press.
Sanusi, yang juga ketua pengarah pilihan raya PAS memimpin Kedah sejak Mei 2020.
Menyambut baik hasrat itu, Balasubramaniam tidak menolak usul MIC Kedah juga berkait kekecewaan mereka terhadap Barisan Nasional (BN), terutama selepas Umno bekerjasama dengan PH dalam kerajaan perpaduan.
“Jika MIC mahu bekerjasama dengan PN, kami mengalu-alukannya. MIC mempunyai banyak pengalaman dan pernah bekerjasama dengan PAS selepas PRU 2018.
“Mereka faham dasar PAS, jadi mudah untuk bekerjasama,” katanya.
Balasubramaniam juga melihat kerjasama itu boleh membawa nilai tambah kepada PN dengan menarik lebih banyak sokongan pengundi bukan Islam terutama kaum India.
“Pengaruh MIC semakin merosot bukan kerana mereka tidak aktif, tetapi disebabkan Umno tidak lagi menyokong mereka seperti dahulu.
“Ramai ahli MIC masih aktif di peringkat akar umbi, cuma mereka tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada BN,” katanya.