LLM nafi dakwaan tular motosikal kena tol Oktober

LLM nafi dakwaan tular motosikal kena tol Oktober

Lembaga Lebuhraya Malaysia menafikan dakwaan yang dimuat naik pemilik akaun media sosial ‘ebidmotor.com’ semalam.

laluan motor
Tiada sebarang perubahan bagi kenderaan yang dikenakan tol buat masa ini termasuk penunggang motosikal, kata LLM.
PUTRAJAYA:
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menegaskan tiada sebarang perubahan terhadap kategori kenderaan yang dikenakan tol pada masa ini, termasuk bagi penunggang motosikal.

Kenyataan itu sekali gus menafikan dakwaan bahawa penunggang motosikal akan mula membayar tol mulai Oktober ini seperti yang dimuat naik oleh pemilik akaun media sosial ‘ebidmotor.com’ semalam.

Dalam kenyataan hari ini, LLM menyifatkan hantaran tersebut sebagai maklumat tidak benar yang mengelirukan orang ramai serta berpotensi mencetuskan kebimbangan tidak berasas dalam kalangan penunggang motosikal, selain menjejaskan reputasi kerajaan, Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM dan syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.

“Untuk makluman, syarikat konsesi PLUS Malaysia Berhad kini sedang menjalankan ujian sistem tol terbuka menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR).

“Sekiranya ujian ini berjaya, pelaksanaannya akan dilakukan secara berperingkat di lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad,” kata kenyataan itu.

Menurut LLM objektif utama pelaksanaan sistem tersebut adalah untuk melancarkan aliran trafik, meningkatkan keselesaan pengguna dan mengurangkan kesesakan di plaza tol.

Justeru, LLM menggesa orang ramai, khususnya pengguna lebuh raya bertol, agar tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat palsu yang mengelirukan atau bersifat hasutan dan merujuk kepada sumber rasmi pihak berkuasa.

Hantaran di laman Facebook tersebut, setakat 10 pagi tadi, telah menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial termasuk 2,000 komen dan 568 perkongsian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.