Untung bersih SD Guthrie meningkat 71% kepada RM1.07 bilion

Untung bersih SD Guthrie meningkat 71% kepada RM1.07 bilion

Keuntungan syarikat bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2025 itu meningkat daripada RM626 juta.

SD Guthrie
Segmen huluan SD Guthrie catat prestasi cemerlang dengan kenaikan keuntungan dua kali ganda bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2025.
PETALING JAYA:
SD Guthrie Berhad (SD Guthrie) mencatatkan peningkatan keuntungan bersih 71% iaitu RM1.07 bilion bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2025, berbanding RM 626 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

SD Guthrie berkata prestasi cemerlang itu disumbangkan segmen huluan yang mencatatkan peningkatan keuntungan dua kali ganda iaitu kenaikan harga purata minyak sawit mentah (MSM) sebanyak 3% dan 50% isirong sawit (PK) sebanyak 50%.

“Pengeluaran tandan buah segar (TBS) syarikat juga meningkat 4% susulan pengeluaran lebih tinggi oleh setiap segmen huluan,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, keuntungan segmen hiliran (SD Guthrie International atau SDGI) mencatatkan penurunan keuntungan 44% kepada RM126 juta pada suku kedua tahun ini berbanding RM225 juta sebelumnya

Menurutnya, keadaan itu disebabkan cabaran permintaan dan margin lebih rendah di Asia Pasifik dan Eropah walaupun operasi di Oceania menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Pengerusi SD Guthrie Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani pula berkata kelancaran operasi dan perkembangan segmen pembangunan perindustrian serta tenaga boleh diperbaharui akan menjadi fokus untuk meneruskan kemerlangan pada separuh kedua tahun ini.

“Pendekatan berdisiplin kami laksanakan akan memacu hasil dan memberikan nilai jangka panjang serta mampan kepada pemegang saham,” katanya.

Pengarah Urusannya Mohamad Helmy Othman Basha pula menekankan prestasi separuh pertama tahun itu membuktikan keberkesanan strategi mampan dan pelaksanaan berdisiplin untuk terus mengutamakan kecemerlangan operasi.

“Walaupun momentum segmen perniagaan teras kami semakin meningkat, namun tumpuan kepada strategi dan inisiatif pertumbuhan baharu akan tetap kami teruskan dan perluaskan lagi,” katanya.

Beliau turut menyentuh kerjasama bersama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) untuk membangunkan Hab Keterjaminan Makanan dan Teknologi Pendidikan di Pulau Carey.

“Tumpuannya bukan sahaja untuk merangsang pertumbuhan ekonomi di Pulau Carey, tetapi juga untuk memastikan masyarakat sedia ada dan kekayaan warisan terus dilindungi.

“Guthrie menghargai peluang untuk bersama melibatkan diri dalam pembangunan yang begitu bermakna ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.