SD Guthrie catat untung bersih RM2.5 bilion, tertinggi dalam sejarah

SD Guthrie catat untung bersih RM2.5 bilion, tertinggi dalam sejarah

Prestasi kukuh dipacu hasil sumbangan lebih baik daripada segmen huluan dan pembangunan perindustrian yang merupakan segmen perniagaan baharu Kumpulan.

Perniagaan huluan SD Guthrie menyumbang RM3.6 bilion kepada keuntungan sebelum faedah dan cukai. (Gambar SD Guthrie)
PETALING JAYA:
SD Guthrie Berhad mencatat keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah iaitu RM2.5 bilion bagi tahun kewangan berakhir Disember 2025 (FY2025), peningkatan 16% berbanding tahun sebelumnya.

Prestasi kukuh itu dipacu hasil sumbangan lebih baik daripada segmen huluannya dan pembangunan perindustrian yang merupakan segmen perniagaan baharu kumpulan.

Perniagaan huluan kumpulan menyumbang RM3.6 bilion kepada keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT), disokong peningkatan prestasi memberangsangkan dalam semua faktor operasi utama segmen tersebut.

Pengeluaran tandan buah segar (FFB) meningkat 1% dari tahun ke tahun (YoY), manakala harga purata direalisasikan bagi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) masing-masing meningkat 4% dan 33% YoY kepada RM4,254 dan RM3,219 bagi setiap tan metrik.

Segmen pembangunan perindustrian menyumbang RM430 juta kepada PBIT FY2025, hasil keuntungan jualan tanah kepada syarikat usahasama tiga pihak.

Segmen hiliran iaitu SD Guthrie International (SDGI), mencatat PBIT sebanyak RM484 juta, selepas melalui tahun mencabar berikutan penurunan permintaan produk yang menjejaskan prestasi globalnya.

Bagaimanapun, prestasi lebih baik dicapai oleh operasi produk terbeza SDGI di rantau Asia Pasifik, menghasilkan keuntungan lebih tinggi yang mengimbangi sebahagian daripada impak penurunan jumlah jualan.

Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani.
Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani.

Pengerusi Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, prestasi kukuh Guthrie pada 2025 memperlihatkan peningkatan berterusan perniagaan teras huluan serta potensi menarik bagi segmen pembangunan perindustrian baharunya.

“Ini adalah pencapaian sangat memberangsangkan bagi kami dalam meneruskan prestasi mampan untuk tahun 2026 di mana pelbagai portfolio perniagaan Guthrie akan terus berkembang.

“Prestasi kumpulan ini juga mencerminkan tumpuan berterusan terhadap pelaksanaan strategi secara berdisiplin oleh pihak pengurusan dan warga kerja kami yang komited,” katanya dalam kenyataan.

Bagi prospek 2026, Guthrie berkata harga MSM dijangka stabil dalam tempoh terdekat, dengan faktor struktur yang menyokong kestabilan pasaran.

Walaupun paras inventori yang tinggi dan penangguhan mandat biodiesel B50 Indonesia mungkin memberi sedikit tekanan, pertumbuhan bekalan lebih perlahan serta permintaan global yang stabil terhadap minyak sayuran dijangka terus mengimbangi harga MSM.

“Daya saing harga minyak sawit dijangka kekal kukuh berikutan aktiviti penambahan stok bermusim di pasaran utama seperti India, Timur Tengah dan China.

“Segmen huluan akan terus memperkukuhkan inisiatif kecemerlangan operasi bagi meningkatkan kualiti dan jumlah keseluruhan hasil minyak. Segmen hiliran pula akan terus memberi tumpuan dalam memanfaatkan rantaian bekalan bersepadu untuk memastikan operasi yang anjal dan responsif kepada permintaan pelanggan,” katanya.

Ia juga akan terus membina aliran pendapatan mampan dengan membina kerjasama strategik dalam segmen pembangunan perindustrian serta tenaga boleh diperbaharui.

Kumpulan turut mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 10.35 sen sesaham. Dengan dividen interim 7.75 sen sesaham, jumlah keseluruhan dividen seperingkat bagi FY2025 adalah 18.10 sen sesaham (FY2024: 16.36 sen sesaham), peningkatan jumlah dividen 1.74 sen sesaham berbanding FY2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.