
Dalam kenyataan, CAAM memaklumkan pesawat dikendalikan Malaysian Flying Academy Sdn Bhd (MFA) itu terbabit dalam kejadian kira-kira 2.55 petang.
“Pesawat berkenaan yang sedang melakukan penerbangan latihan telah mendarat sebelum tergelincir dari landasan.
“Juruterbang yang terlibat mengalami kecederaan ringan dan kini sedang menerima rawatan perubatan. Kerja pengalihan pesawat serta pemeriksaan menyeluruh landasan telah dilaksanakan bagi memastikan keselamatan operasi di lapangan terbang itu,” menurut kenyataan.
CAAM turut memaklumkan siasatan keselamatan akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara bawah Kementerian Pengangkutan selaras Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Mohd Saad Md Kassim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 3.15 petang.
“Seramai tujuh anggota bergegas ke lokasi dan tiba tujuh minit kemudian. Setibanya di lokasi, kami dimaklumkan bahawa pesawat telah dibawa ke bengkel. Selepas memastikan tiada lagi bahaya di landasan, kami beredar dari tempat kejadian,” katanya.