
Pengarah Urusan Yeoh Seok Hong berkata komponen dalam ekosistem AI itu akan dilancarkan sempena Sidang Kemuncak AI Asean Malaysia 2025, minggu depan.
Menurutnya, syarikat komited membangunkan sektor AI sejak beberapa tahun lalu, dengan memberi tumpuan kepada dua komponen utama iaitu AI Cloud dan penyelesaian LLM.
“Malaysia kini mempunyai keupayaan bekerjasama dengan NVIDIA, pembangun cipset GPU terkemuka iaitu GP200, yang mampu menyokong pelbagai penyelesaian AI,” katanya dalam kenyataan, sempena Sidang Kemuncak AI Asean Malaysia 2025.
Sidang Kemuncak AI Asean Malaysia 2025 berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur pada 12 hingga 13 Ogos ini.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Digital Fabian Bigar berkata sidang kemuncak yang akan menyaksikan pelancaran Dasar Pemikiran Awan Negara akan menjadi dokumen strategik memperkukuh ekosistem AI nasional dan serantau.
“Di Asean, tahap ketersediaan teknologi AI berbeza, contoh Singapura sudah jauh ke depan manakala negara lain masih di peringkat awal.
“Matlamat kita adalah merapatkan jurang ini dengan meningkatkan keselamatan AI dan memastikan tiada yang tertinggal,” katanya.
Pada 19 Mac tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata YTL AI Cloud, yang pertama untuk Malaysia, akan mempercepatkan penggunaan AI di Malaysia dan menerajui pembangunan Sovereign Cloud negara.
YTL akan menjadi antara syarikat pertama yang menggunakan NVIDIA GB200 NVL72, iaitu sistem skala rak, penyejukan cecair dan pelbagai nod dengan NVLink generasi kelima.
Superkomputer itu akan disambungkan oleh platform rangkaian NVIDIA Quantum InfiniBand.
Platform itu berfungsi sebagai GPU tunggal dengan 1.4 exaflop prestasi AI dan 30 terabyte memori pantas serta dibangunkan untuk beban kerja intensif pengiraan.
YTL AI Supercomputer akan mengatasi lebih 300 exaflop pengiraan AI, menjadikannya antara superkomputer terpantas di dunia.