
Beliau berkata sekiranya kerajaan telah meluluskan dana untuk program itu, ia boleh disalurkan kepada program-program sedia ada di Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Kerajaan belum menjawab soalan saya tentang PLKN 3.0. Jadi, batalkan PLKN 3.0,” katanya semasa membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Pada Disember tahun lalu, Saifuddin mencadangkan supaya PLKN 3.0 dibatalkan atas beberapa alasan termasuk pelaksanaan latihan itu tidak mempunyai objektif dan sasaran pencapaian yang jelas.
Saifuddin dilaporkan berkata itu antara syor Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia yang dipengerusikan beliau.
PLKN 3.0 siri pertama yang bermula Januari lalu melibatkan penyertaan 116 pelatih sukarela dari seluruh negara.
Mereka didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran berdasarkan 30% modul kenegaraan dan 70% latihan asas ketenteraan.
Dalam pada itu, Saifuddin juga berkata terlalu banyak kementerian dan institusi terlibat dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sehingga berlakunya pertindihan dan pembaziran.
“Kita ada 12 kementerian dan 1,398 institusi TVET. Terlalu banyak hingga berlaku pertindihan dan pembaziran. Perlu ada ditutup, diserap dan diselaras,” katanya.