
Ketua Penerangan, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata Hamzah tidak lagi layak menggalas jawatan ketua pembangkang berikutan kedudukannya ketika ini sebagai Ahli Parlimen tidak berparti.
“Hamzah bukan lagi Ahli Bersatu dan bukan Ahli Parlimen PN. Dia adalah Ahli Parlimen tidak berparti dan tidak wajar mengetuai blok pembangkang. Dia sudah tiada locus standi untuk terus memegang jawatan ketua pembangkang.
“Jawatan ketua pembangkang yang diperolehnya atas kapasiti dia sebagai setiausaha agung dan Ahli Parlimen Bersatu sebelum ini,” katanya kepada FMT ketika ditanya sama ada Bersatu akan akur jika majoriti Ahli Parlimen pembangkang mahu Hamzah dikekalkan.
Katanya, walaupun majoriti Ahli Parlimen Bersatu dikatakan masih mahukan Hamzah, mereka semua tetap tertakluk kepada keputusan dasar Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
“Ahli Parlimen PN pula tertakluk kepada keputusan-keputusan dasar yang dibuat oleh Majlis Tertinggi dan Majlis Presiden PN,” katanya.
Katanya, keputusan dasar PN yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN dan Majlis Presiden PN ialah jawatan ketua pembangkang telah kosong dan PAS perlu segera menamakan pengganti Ahli Parlimen Larut itu yang bukan lagi ahli Bersatu dan Ahli Parlimen PN.
Manakala Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Mohd Yazid Mohd Yunus turut senada sambil menegaskan ia bukan tugas Ahli Parlimen untuk melantik ketua pembangkang tetapi tanggungjawab pemimpin parti dalam PN.
“Tugas Ahli Parlimen adalah berhujah dengan hebat dalam Parlimen, mempertahankan hak-hak rakyat dan menjamin kepentingan negara.
“Rakyat ingin ketua pembangkang dan Ahli Parlimen yang kuat, oleh itu sudah sampai masa PN menukar ketua pembangkang baharu agar rakyat lihat PN tidak lemah dan mempunyai lambakan pemimpin yang hebat.
“Saya ingin menasihatkan Ahli Parlimen terutama Ahli Parlimen Bersatu untuk fokus bekerja, turun padang dan menjalankan tanggungjawab mereka di kawasan Parlimen masing-masing daripada asyik membuang masa bermain politik sepanjang hari,” kata Adun Lepar itu.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz mendakwa majoriti daripada 69 Ahli Parlimen pembangkang termasuk dari PAS dan Bersatu mahu Hamzah terus menerajui blok itu di Dewan Rakyat.
Dakwanya, sokongan itu disuarakan khususnya oleh Ahli Parlimen PAS yang membentuk majoriti anggota pembangkang dengan 43 kerusi, walaupun parti itu telah mengambil alih jawatan pengerusi PN bulan lepas.