
Namun, di kala pemimpin dunia memproses gegaran di Hiroshima dan Nagasaki, sebelum ia tersemat dalam sejarah peradaban, ia pertama sekali peristiwa yang sangat peribadi bagi mangsanya.
“Agaknya bapa saya memang diberi tanggungjawab oleh Tuhan untuk hidup dan menceritakan apa yang berlaku. Sebab itu dia sihat,” kata Dzulkifli, mengimbau cerita ayahnya, Abdul Razak Abdul Hamid, satu-satunya rakyat Tanah Melayu yang terselamat dalam tragedi nuklear pertama dunia yang meragut lebih 140,000 nyawa. Razak, pelajar kelahiran Pulau Pinang yang berusia 19 tahun, berada di sana sebagai pelajar tajaan kerajaan Jepun di Universiti Hiroshima.
Razak berada di bilik kuliah apabila bom meletus. “Dia kata mula-mula dia berasa gelap gelita. Lepas itu ada pancaran macam petir. Lepas itu gelap gelita. Lepas itu baru bangunan dia roboh. Bumbung jatuh tapi tidak menghempap. Selama satu hari dia pengsan bawah bumbung itu.”
Razak terjaga dalam apa yang sebelum ini bilik kuliah, diterangi cahaya matahari dari celah-celah timbunan. “Dia merangkak keluar mengikut cahaya matahari. Tak ada lagi bangunan yang dia kenal. Dia kata macam padang jarak padang tekukur.”
Pertama sekali, Razak mahu kembali ke penginapan. Dia teringat ada suatu sungai berdekatan kampus yang boleh menghalakan beliau ke arah tempat tinggalnya.

Menelusuri sungai itu membuka mata Razak kepada kesan keputusan yang dibuat jauh di Washington, bagi mengakhiri Empayar Jepun.
“Mayat bergelimpangan. Dekat sungai itu dia kata banyak badan-badan yang dibawa sungai. Dia temui orang yang semuanya menderita — semuanya kehausan.
“Dia ambil air untuk membantu, tapi kesudahannya bila dapat air mereka semua meninggal — kerana radioaktif ataupun kerana perbezaan suhu antara badan dan luar.”
Dzulkifli teringat bapanya beritahu pakaian mangsa yang hidup melekap pada badan dek panasnya suhu ketika itu. “Seolah-olah badan kita itu ada corak baju yang kita pakai.”
“Kadang-kadang orang yang kesakitan tarik rambut sendiri, rambut dia akan luruh.”

Kisah-kisah ngeri ini tidak pernah putus mengalir daripada bibir Razak, membentuk naratif hidupnya yang turut diwarisi Dzulkifli, profesor emeritus di Universiti Sains Malaysia.
“Setiap 6 Ogos, ayah akan kumpulkan kami adik-beradik dan dia akan ceritakan semula apa yang berlaku pada hari bom atom dijatuhkan di Hiroshima pada 1945,” kata Dzulkifli.
Hubungan Razak dengan Jepun tidak terputus; sejak pulangnya dari Hiroshima, dan terutama setelah kisah Razak mula tersebar, kediaman keluarga mereka tidak pernah sunyi daripada kunjungan.
“Rumah kami macam jadi tempat lawatan. Mak saya akan siapkan kuih dan mereka yang datang pun ada berikan cenderahati.”
Dzulkifli menggambarkan bapanya sebagai seorang yang sangat penyabar, dan cerita-cerita bapanya menekankan mesej yang amat relevan hari ini, di sebalik perbalahan politik, retorik perkauman dan fitnah dalam masyarakat mutakhir ini.

“Jangan biar hidup kita penuh dengan sengketa. Memang Malaysia hari ini aman tiada letupan bom tapi dalam hati dan perangai sesetengah kita, benih-benih peperangan itu masih tumbuh,” katanya, mengulangi nasihat yang sentiasa dititipkan bapanya.
Razak menghembuskan nafas terakhir pada 18 Julai 2013, tidak sampai dua minggu selepas ulang tahun kelahiran ke-88.
Dua lagi rakyat Tanah Melayu, Nik Yusof Nik Ali dan Syed Omar Syed Mohammad Alsagoff, juga berada di Jepun ketika tragedi itu. Mereka meninggal dunia akibat radiasi ketika cuba meninggalkan kampus — di usia semuda 17 tahun.
Jenazah Nik Yusof dikebumikan di Nagano, manakala Syed Omar disemadikan di Kyoto.