
Pesuruhjaya Kehakiman Eddie Yeo menjadualkan semula perbicaraan itu ke 29, 30 dan 31 Mac 2027.
Lin menyaman Thai dan Teh Chee Kien berhubung kenyataan yang didakwa dibuat oleh mereka tiga tahun lalu. Beliau mendakwa kenyataan tersebut palsu, tidak berasas dan diterbitkan dengan niat jahat, merosakkan reputasinya.
Bulan lepas, Thai dan Teh masing-masing memfailkan permohonan perintah perlindungan bagi kes mereka. Kedua-dua permohonan ditetapkan untuk didengar pada 19 Sept.
Yeo turut mengarahkan agar Thai dan Teh memfailkan afidavit masing-masing sebelum atau pada 20 Ogos, dan agar semua pihak memfailkan hujahan bertulis sebelum atau pada 10 Sept.
Lin diwakili oleh peguam Tan Lee Kiat, manakala peguam G Rajasingam tambil bagi pihak Thai dan Teh.
Permohonan perintah perlindungan oleh Thai dan Teh serupa dengan permohonan yang difailkan oleh Thai dalam satu lagi saman fitnah terhadapnya, yang dikemukakan oleh isterinya, Tan Bee Geok, yang juga dijadualkan untuk didengar oleh Yeo pada tarikh yang sama.
Thai dan Teh memohon agar mahkamah mengadakan perbicaraan masing-masing secara tertutup dan meminta agar pihak media dilarang membuat liputan prosiding tersebut.
Mereka juga mahu semua dokumen mahkamah dimeterai dan transkrip mahkamah dikekalkan sulit, hanya boleh diakses oleh pihak-pihak terbabit dan peguam mereka, dengan jurutranskrip diwajibkan menandatangani perjanjian kerahsiaan.
Kedua-dua lelaki tersebut mendakwa perbicaraan masing-masing menyentuh perkara peribadi dan kekeluargaan bersifat sulit, bukan berkenaan kepentingan awam.
Thai dan Teh, yang kedua-duanya diwakili oleh firma guaman Shearn Delamore & Co, juga mendakwa perbicaraan tersebut mungkin melibatkan penelitian kehidupan peribadi pihak-pihak terlibat serta saksi-saksi mereka.
Menurut mereka, pihak-pihak terlibat dan saksi mempunyai kedudukan sosial dan komersial yang substantif. Salah seorang saksi yang akan melangsungkan perkahwinan juga bimbang akibat yang mungkin timbul daripada perbicaraan awam.
Firma guaman Nazri Aziz Masura Mak & Tan bertindak bagi pihak Lin dalam kedua-dua saman tersebut.
Lin pernah mewakili negara dan memenangi pingat perak dalam acara beregu lelaki di Piala Dunia 2006, selain pingat gangsa di Sukan Asia Doha 2006 dan Sukan SEA 2007 di Thailand.
Thai dan Tan secara bersama memiliki Supermax Holdings Sdn Bhd, yang merupakan pemegang saham besar dalam Supermax Corporation Bhd, salah sebuah pengeluar sarung tangan getah terkemuka di dunia.
Mereka berkahwin pada 1987, namun hubungan mereka menjadi keruh selepas timbul pelbagai tuduhan daripada kedua-dua belah pihak.
Pada 2022, Tan memohon pemisahan secara kehakiman. Thai pula memfailkan perceraian pada April tahun lepas. Prosiding tersebut sedang berjalan di mahkamah keluarga.