Saman pemula Mubarak: 2 defendan diarah kemuka afidavit bantah bidang kuasa mahkamah

Saman pemula Mubarak: 2 defendan diarah kemuka afidavit bantah bidang kuasa mahkamah

DKU Negeri Sembilan beritahu mahkamah soal adat istiadat orang Melayu negeri itu tidak boleh dipertikai atau dipersoal mana-mana mahkamah.

seremban court
Mahkamah Tinggi Seremban tetap 28 Julai bagi pendengaran kes saman pemula Mubarak Thahak dan lima lagi individu terhadap Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Raja Norazli Raja Nordin dan defendan kedua, DKU. (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Mahkamah Tinggi mengarahkan dua defendan dalam saman pemula difailkan Mubarak Thahak dan lima lagi individu supaya mengemukakan afidavit bagi menyokong bantahan terhadap bidang kuasa mahkamah dalam tempoh tujuh hari.

Hakim Roz Mawar Rozain mengarahkan demikian selepas mendengar bantahan awal daripada defendan pertama, Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan Raja Norazli Raja Nordin dan defendan kedua, DKU.

Peguam mewakili kedua-dua defendan, Steven Thiru, membantah permohonan saman pemula berkenaan kerana ia bukan di bawah bidang kuasa mahkamah seperti termaktub dalam Perkara 16(3) Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959.

“Nasihat Dewan (DKU) atas soal-soal berkaitan dengan adat istiadat orang Melayu di mana-mana tempat di dalam negeri ini termasuk nasihat atas soal-soal berkaitan dengan pemilihan atau warisan kepada atau perlucutan daripada atau pengosongan jawatan mana-mana Undang Yang Empat yang disebut dalam Perkara XIV adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas sebarang alasan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Julai bagi pendengaran kes.

Sementara itu, Penolong Penasihat Undang-undang Negeri Sembilan, Ala’uddin Baharom yang juga peguam mewakili defendan ketiga (kerajaan Negeri Sembilan) turut membantah permohonan plaintif mendapatkan minit mesyuarat DKU kerana defendan bukanlah ahli DKU.

“Segala persiapan, penyediaan, penyimpanan, dan pengeluaran minit mesyuarat bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Saya percaya bidang kuasa mahkamah perlu diputuskan terlebih dahulu kerana secara amnya minit mesyuarat dan keputusan adalah perkara berbeza, manakala bagi permohonan ketiga (penggantungan), defendan membantah sekerasnya dan memohon isu berkenaan didengar dahulu,” katanya.

Namun, hakim berkata mahkamah tidak membenarkan penangguhan interim dimohon di bawah permohonan berkenaan pada peringkat ini, antaranya kerana kekurangan bahan dan maklumat mencukupi untuk membolehkan mahkamah menggunakan budi bicara bagi membenarkan penangguhan interim tersebut.

“Pada waktu ini, mahkamah tidak akan membenarkan apa-apa perintah untuk penggantungan seperti yang dimohon,” katanya.

Mengulas mengenai perkara itu, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili enam plaintif, berkata hakim membuat keputusan bahawa tidak mencukupi keterangan di dalam afidavit untuk membenarkan penggantungan interim dilakukan.

“Namun, hakim telah menjelaskan bahawa pihak plaintif tidak terhalang membuat permohonan rasmi mengenai penggantungan tersebut dan akan mendapatkan arahan daripada plaintif bagi tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Pada 5 Mei, Mubarak bersama lima individu lain memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban untuk mendapatkan salinan minit mesyuarat Sidang Khas DKU Negeri Sembilan, yang berlangsung pada 17 April lalu.

Lima lagi plaintif ialah Undang Luak Jelebu Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau Abdul Rahim Yasin, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri, dan Shahbandar Sungei Ujong Badarudin Abdul Khalid.

Sebelum ini, Mubarak dilaporkan sudah dilucutkan daripada kedudukan sebagai Undang Luak Sungei Ujong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.