
Perayu, kini berusia 27 tahun, telah didiagnosis dengan Gangguan hiperaktif kekurangan perhatian (ADHD) dan sindrom Asperger.
Pada 2017, ibu dan anak itu memulakan tindakan undang-undang terhadap sekolah itu, yang terletak di Shah Alam, menamakan guru besarnya ketika itu, Kementerian Pendidikan dan kerajaan sebagai defendan.
Kedua-duanya berhujah bahawa pihak sekolah dan pihak berkuasa mempunyai kewajipan untuk menyediakan persekitaran selamat dan menyokong pelajar berkeperluan khas, dan memastikan guru dan kakitangan dilatih secukupnya untuk menguruskan pelajar seperti itu.
Mahkamah Tinggi menolak tuntutan itu pada 2023, berkata ibu dan anak lelaki itu gagal membuktikan tuntutan mereka terhadap defendan berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Dalam mengekalkan keputusan mahkamah rendah, Hakim Nazlan Ghazali berkata ibu itu gagal mengesahkan bahawa anaknya telah dibuli empat kali antara Mei dan November 2016.
Turut dalam panel mendengar rayuan itu ialah Hakim Azmi Ariffin dan Faizah Jamaludin.
Nazlan juga menyatakan bahawa budak lelaki itu tidak memberi keterangan dalam kesnya sendiri, dengan hanya ibunya yang memberi keterangan.
“Selain itu, kami juga mendapati bahawa kes plaintif mengenai insiden yang didakwa tidak berjaya kerana individu yang dikenali sebagai ‘H’, yang didakwa mengganggu dan menyerang budak lelaki itu, tidak dinamakan sebagai pihak atau disapina untuk memberi keterangan.
“Kami juga mendapati hujah plaintif bahawa budak lelaki itu tidak mampu memberi keterangan tidak boleh dipercayai. Mana-mana orang adalah kompeten untuk memberi keterangan melainkan mahkamah menganggapnya sebaliknya,” kata Nazlan.
Mahkamah menegaskan bahawa tindakan buli tidak ada tempat dalam masyarakat tetapi berkata bukti dalam kes terbabit tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa budak itu telah menjadi mangsa.
“Mungkin ada perselisihan faham atau pertengkaran, terutamanya melibatkan budak lelaki dan ‘H’ – tetapi mahkamah membuat keputusan berdasarkan fakta dan bukti,” tambah Nazlan.