
Tertuduh, Syahril Faiza Zakaria, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah, menurut Berita Harian.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap murid lelaki berusia 11 tahun enam bulan dalam sebuah kereta ketika dalam perjalanan menuju Pasaraya KB Mall, sekitar jam 2 petang pada Mac tahun lalu.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa yang sama di sebuah tandas di pusat peranginan di Pantai Cahaya Bulan (PCB) pada petang Mei tahun lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama dibaca bersama Seksyen 16.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Saifullah Che Mat.
Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes adalah serius selain mangsa mempunyai hubungan amanah dengan tertuduh.
Mohd Saifullah merayu mahkamah membenarkan jaminan memandangkan anak guamnya yang sebelum ini bertugas di sekolah, telah dipindahkan ke pejabat pendidikan daerah.
Menurutnya, tertuduh juga tidak berkahwin dan tinggal bersama ibu bapa, selain mengalami masalah jantung yang memerlukan rawatan susulan.
Hakim kemudian membenarkan jaminan RM30,000 untuk semua pertuduhan dan melarang tertuduh mengganggu saksi, selain menetapkan 10 September untuk sebutan semula kes.