Bekas guru tuisyen mengaku tak salah amang seksual 2 kanak-kanak

Bekas guru tuisyen mengaku tak salah amang seksual 2 kanak-kanak

Lim Boon Jye didakwa atas empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan sembilan tahun dan lapan tahun.

Tertuduh, Lim Boon Jye, 34, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Balik Pulau hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan, tahun lalu. (Gambar Facebook) 
PETALING JAYA:
Bekas guru di sebuah pusat tuisyen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Balik Pulau hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan, tahun lalu.

Tertuduh, Lim Boon Jye, 34, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin, menurut Harian Metro.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.

Kesalahan itu dilakukan antara 3 hingga 4 petang pada Mac 2024 di sebuah pusat jagaan di Persiaran Pantai Jerjak 6, Bayan Lepas di dalam daerah Barat Daya.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Mengikut pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) akta sama kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berkenaan pada masa dan lokasi yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, didakwa mengikut Seksyen 14(a) akta sama kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

Kesalahan dilakukan antara 8 pagi hingga 1 tengah hari pada Mei tahun lalu di lokasi sama.

Manakala bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) akta sama kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan terbabit pada masa dan lokasi sama.

Semua kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Asma’ ‘Amira Shahidani mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Savinder Singh.

Asma’ ‘Amira tidak menawarkan jaminan manakala Savinder meminta jaminan minimum berikutan tertuduh mempunyai seorang anak manakala isterinya kini sedang mengandung.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM30,000 dengan seorang penjamin, menyerah pasport dan melapor diri ke balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai serta tidak boleh mengganggu mangsa.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Januari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.