
Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan injunksi ad-interim dalam saman difailkan Jeyenderan Ramasamy, 50, selaku plaintif terhadap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 39, sebagai defendan tunggal.
Mahkamah juga menghalang Caprice daripada terus mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif, sementara menunggu pendengaran injunksi inter-parte selesai.
Perkara itu disahkan peguam Jeyenderan, Muniandy Vestanathan, Fiona Aurelia Culas, dan Muhammad Afiq Yahawa, serta peguam Megat Syazlee Mokhtarom mewakili Caprice, ketika dihubungi Bernama.
Jeyenderan, sebagai ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat perkapalan yang memfailkan saman itu pada 21 Julai lalu, mendakwa pada 10 Julai lalu, defendan telah memuat naik beberapa hantaran termasuk gambar dan video plaintif di Instagram miliknya, yang didakwa mengaitkan plaintif dengan kegiatan jenayah, gangsterisme serta ugutan bersenjata tanpa sebarang bukti sah.
Plaintif mendakwa hantaran fitnah itu dibuat bagi tujuan menimbulkan syak wasangka, kebencian masyarakat, dan tekanan sosial terhadapnya, selain menyatakan defendan tidak pernah menghubunginya atau wakilnya untuk mendapatkan pengesahan atau penjelasan sebelum menerbitkan dakwaan serius itu.
Dakwanya, tindakan defendan jelas menunjukkan beliau tidak berniat menyampaikan maklumat adil dan benar, sebaliknya bertujuan mencemarkan nama baik dan reputasinya kerana defendan mempunyai pengaruh besar di Instagram, dengan jumlah pengikut kira-kira lebih 1.5 juta.
Akibat daripada penerbitan tersebut, Jeyenderan mendakwa bukan sahaja reputasinya sebagai pakar perkapalan dan maritim telah terjejas di peringkat global, malah beliau telah mengalami kerugian khas RM1 juta selepas kehilangan beberapa kontrak ceramah utama di Dubai, Turki, dan India, yang ditawarkan sebuah syarikat berpangkalan di Dubai.
Tambahnya, pada 15 Julai lalu, satu notis tuntutan telah dikeluarkan oleh peguamcara pihaknya yang mengemukakan beberapa tuntutan kepada defendan, namun semua tuntutan itu telah dinafikan defendan melalui Tetuan Megat Iqbal & Co.
Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi sejumlah RM3 juta atas kerosakan reputasi, ganti rugi khas, ganti rugi am, dan ganti rugi teladan, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Jeyenderan memohon mahkamah mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan sebarang kenyataan fitnah selanjutnya, memadamkan semua kenyataan fitnah berkenaan serta membuat permohonan maaf secara terbuka di semua akaun media sosial milik atau di bawah kawalannya.