
Lebih manis, majlis dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sarawak Wan Junaidi Tuanku Jaafar itu bertepatan dengan ulang tahun kelahiran Premier Sarawak Abang Johari Openg ke-75, menjadikan acara itu satu detik yang sarat dengan makna dalam landskap pentadbiran negeri Sarawak.
Kompleks yang terletak berdepan dengan Perpustakaan Negeri Sarawak (PUSTAKA), Kompleks Satria Pertiwi merangkumi tiga komponen iaitu bangunan pejabat utama, bangunan kediaman rasmi premier serta dewan serbaguna.
Pejabat Utama menempatkan pejabat Premier Sarawak dan unit pentadbiran berkaitan manakala kediaman rasmi digunakan untuk menerima tetamu kehormat serta acara rasmi berskala kecil. Dewan serba guna pula menjadi ruang utama bagi majlis berskala besar dan kegunaan warga kompleks berkenaan.
Kompleks baharu yang berwarna putih itu menampilkan gaya seni bina Neoklasikal dan Kolonial yang mencerminkan warisan sejarah serta perpaduan rakyat berbilang kaum dan budaya.
Pejabat Premier Sarawak sebelum ini, beroperasi di bangunan Wisma Bapa Malaysia sejak penubuhannya pada 1976, sebelum beralih ke kompleks baharu yang lebih moden, strategik dan tersendiri dari segi identiti.
Majlis perasmian turut disaksikan Timbalan Premier Douglas Uggah Embas, Dr Sim Kui Hian dan Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan menteri Kabinet negeri serta ketua-ketua jabatan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan lampu berwarna-warni dan simbolik tandatangan plak, diikuti lawatan ke ruangan dalam kompleks pentadbiran itu.