
Beliau berkata langkah itu bukan hanya memberi manfaat kepada ekonomi malah turut mengekalkan kelestarian alam sekitar.
Katanya, usaha ke arah itu termasuk kerjasama dengan syarikat antarabangsa seperti Siemens, dalam memperkenalkan teknologi baharu bagi pengeluaran hidrogen berskala besar.
“Syarikat antarabangsa, Siemens di Jerman menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Sarawak dan Malaysia dalam mengeluarkan hidrogen yang menepati piawaian antarabangsa.
“Mereka menunjukkan komitmen untuk bekerjasama dalam memperkenalkan teknologi baharu bagi pengeluaran hidrogen berskala besar.
“Dengan teknologi baharu, mereka dapat menghasilkan 35kg hidrogen dalam satu jam berbanding 131kg sehari di Sarawak,” katanya, menurut TV Sarawak.
Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Komuniti Setempat yang turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kuching, semalam.
Sementara itu, beliau berkata penggunaan teknologi baharu juga akan mempercepatkan usaha menjadikan Malaysia khususnya negeri itu, sebagai peneraju tenaga hijau diiktiraf dunia.
“Dengan teknologi ini, kita dapat bersama-sama mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara yang mematuhi piawaian antarabangsa dalam bidang tenaga bersih,” katanya.