Remaja alami kerosakan otak ketika lahir dapat ganti rugi RM4 juta

Remaja alami kerosakan otak ketika lahir dapat ganti rugi RM4 juta

Hakim memberi award RM600,000 kepada remaja itu sebagai ganti rugi am dan RM3.5 juta untuk pemulihan masa depan.

surgery operation
Seorang doktor yang menyambut kelahiran bayi itu dan rumah bersalin lokasi pembedahan dijalankan, diperintah membayar ganti rugi serta kos. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Johor Bahru memberi award RM4.1 juta kepada seorang remaja 16 tahun yang mengalami kerosakan otak teruk ketika lahir, selepas mendapati seorang doktor dan pemilik rumah bersalin swasta bertanggungjawab atas kecuaian perubatan.

Hakim Nurulhuda Nuraini Nor memberikan award RM600,000 kepada remaja itu sebagai ganti rugi am dan RM3.5 juta untuk pemulihan masa depan. Ibunya pula diberikan ganti rugi RM80,000 bagi tekanan emosi serta keresahan.

Pemilik rumah bersalin di Johor Bahru itu dan doktor yang menyambut kelahiran remaja terbabit melalui pembedahan Caesarean diarah membayar kos RM100,000.

Doktor dan rumah bersalin itu sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Hakim dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan baru-baru ini berkata: “Doktor itu bertanggungjawab kerana mengabaikan tugasnya menjaga ibu dan bayi itu, manakala pemilik rumah bersalin terbabit bertanggungjawab secara wakil.”

Nurulhuda berkata, doktor itu bertanggungjawab atas keadaan kanak-kanak berkenaan kerana lewat melakukan pembedahan.

Ibunya memfailkan saman pada 2020 bagi pihak anak lelakinya, yang bergantung kepadanya.

Menurut fakta kes, wanita itu ke rumah bersalin terbabit, yang juga sebuah klinik, kira-kira 10 pagi 28 Sept 2009. Beliau kemudian dinasihatkan menjalani pembedahan Caesarean oleh doktor disebabkan tali pusat melilit leher bayi.

Tetapi, doktor itu hanya melakukan pembedahan Caesarean dan menyambut kelahiran bayi itu pada 7 malam.

Kira-kira 5.30 pagi 1 Okt 2009, bayi itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah dengan ambulans kerana tidak menyusu dengan baik, sukar bernafas dan lesu.

Beliau didapati mengalami hipoglisemia teruk (gula darah rendah) dan jangkitan.

Selepas keluar hospital pada 14 Nov, bayi itu didapati mengalami kekejangan otot dan mulutnya terherot.

Pemeriksaan perubatan di sebuah hospital swasta mengesahkan beliau mengalami kerosakan otak.

Atas faktor kos, bayi itu dimasukkan semula ke hospital kerajaan selama seminggu mulai 15 Nov, sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur pada 23 Nov, di mana pakar neurologi kanak-kanak mengesahkan keadaan kesihatannya.

Peguam R Jayabalan, N Jegatheesan, Christopher Tan dan S Shamilan mewakili plaintif, manakala peguam B Thinesh serta Raja Eileen Soraya Raja Aman mewakili defendan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.