PH pastikan tiada pertembungan 3 penjuru PRN Sabah

PH pastikan tiada pertembungan 3 penjuru PRN Sabah

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata pihaknya usaha capai persetujuan supaya pertembungan dengan BN dan GRS dapat dielak.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hadir pertemuan bersama pemimpin PKR Sabah di Kota Kinabalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan akan memastikan tiada pertembungan tiga penjuru dengan Barisan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN akan datang, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga pengerusi PH dan presiden PKR berkata, setakat ini pihaknya sedang berusaha mencapai persetujuan supaya pertembungan antara ketiga-tiga gabungan dapat dielakkan, lapor Sinar Harian.

“Buat masa ini, kita sedang cuba untuk mencapai persetujuan agar tidak berlaku pertandingan tiga penjuru. Tetapi jika ia berlaku, nasihat kita adalah kemungkinan besar kita akan cuba untuk tidak menyertai pertandingan itu agar tidak mencetuskan terlalu banyak perpecahan.

“Namun, saya tidak mahu membuat andaian terlalu awal kerana niat kita adalah untuk memastikan wujudnya persefahaman secara menyeluruh,” katanya ditemui selepas sesi pertemuan dengan pimpinan PKR di Kota Kinabalu.

Mengulas kemungkinan situasi itu mengelirukan pengundi, Anwar mengakui perkara tersebut boleh berlaku, khususnya di kawasan yang menyaksikan konflik tuntutan kerusi antara parti.

“Di sesetengah kawasan yang ada konflik seperti ini, saya yakin memang akan timbul kekeliruan. Sebab itu kita sudah sampaikan mesej kepada ketiga-tiga pihak – PH, BN dan GRS – bahawa keutamaan kita adalah untuk mencapai persefahaman,” katanya.

Beliau berkata, dunia politik sentiasa dipenuhi pelbagai kemungkinan, namun tidak semuanya mudah dicapai.

“Dalam politik, semuanya mungkin, tetapi kadang-kadang juga ia mustahil,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa kerjasama antara ketiga-tiga gabungan itu menyerupai ‘cinta tiga penjuru’, beliau membayangkan ia pada dasarnya membawa kebaikan, namun tidak terlepas daripada cabaran dan perbezaan pendapat yang perlu ditangani dengan bijaksana.

“Cinta…cinta itu menyenangkan. Kadang-kadang ada sedikit luka, tapi itulah makna cinta,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai jumlah kerusi bakal ditandingi PH pada PRN Sabah, beliau berkata perkara tersebut akan ditentukan pasukan pilihan raya yang telah diberi tanggungjawab menguruskan rundingan pembahagian kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.