
Mufti Terengganu Mohamad Sabri Haron, berkata kerja pengalihan kubur yang kini telah terletak terlalu hampir dengan pantai, diluluskan pihaknya dan dilaksana Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Katannya, selain itu kerja berkenaan turut mendapat kerjasama Pejabat Daerah Kuala Nerus, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pengkalan Maras serta bantuan penduduk kampung.
“Tiada masalah untuk mengalihkan kubur-kubur yang berisiko, kerana ia akan membawa masalah lebih besar sekiranya tidak dipindahkan,” katanya kepada Bernama.
Sabri berkata, kerja pengalihan kubur terlibat ke lokasi baharu iaitu Tanah Perkuburan Islam Hajar Kampung Gong Awang Lib, terletak kira-kira dua kilometer dari tanah kubur asal.
“Sebolehnya kita buat secepat mungkin sebelum berlaku hakisan lebih teruk pada musim tengkujuh kerana bimbang ada kubur akan hanyut lagi, tetapi bergantung juga kepada situasi seperti cuaca dan sebagainya,” katanya.
Pada hujung November tahun lalu, lima jenazah termasuk tiga yang masih berbalut dengan kain kafan di Tanah Perkuburan Kampung Pengkalan Maras, terpaksa dikebumikan semula selepas dihanyutkan ombak susulan hakisan pantai.
Dalam pada itu, Norhayati Sulaiman, 51, berkata dia bersyukur kerana kerisauannya selama ini berakhir apabila kubur ayahnya Allahyarham Sulaiman Jusoh yang meninggal dunia pada 2010 akibat sakit tua, dipindahkan ke lokasi lebih selamat.
“Sejak setahun dua ini walaupun bukan pada musim tengkujuh, apabila saya melawat kubur arwah ayah, saya akan rasa muka terkena percikan air pantai. Kubur arwah ayah hanya terletak kira-kira dua meter sahaja dari pantai, jadi perkara itu amat meresahkan,” kata suri rumah itu.
Dia juga bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan semua pihak menggembleng tenaga dalam memindahkan kubur berisiko termasuk kubur arwah ayahnya.
Laila Othman, 57, pula berkata meskipun masalah hakisan pantai di tanah perkuburan tersebut dianggap musibah segelintir pihak, namun dia bersyukur kerana dapat melepaskan kerinduan apabila melihat sendiri proses pemindahan kubur suaminya hari ini.
“Alhamdulillah, hari ini saya rasa seolah-olah Allah S.W.T memberi keizinan untuk ‘jumpa’ semula arwah suami Mustafa Adong yang meninggal dunia pada 20 Dis 2012 akibat kencing manis, walaupun dalam keadaan berbeza,” kata kakitangan kerajaan negeri itu.
Sementara itu, tinjauan Bernama di tanah perkuburan yang dipercayai berusia lebih 100 tahun itu mendapati, setakat 12 tengah hari tadi sebanyak lima jenazah telah berjaya dikeluar untuk dipindahkan ke lokasi perkuburan baharu.