
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat, berkata air mula naik ketika peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 dan tindakan segera diambil untuk memindahkan 17 calon menduduki PSV Kertas 1 ke SMK Tanjung Pauh dekat sini.
“Sekolah ini tidak banjir pada awalnya, tetapi semasa peperiksaan sedang berlangsung, air mula naik.
“Kita bimbang paras air akan meningkat lagi sebab itu pelajar ini dipindahkan bagi memastikan peperiksaan mereka berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, pihaknya terus memantau keadaan semasa di sekolah itu dan jika keadaan bertambah teruk, pelajar terbabit akan ditempatkan di sekolah alternatif berdekatan.
Tinjauan Bernama di SMK Jitra mendapati pelajar dipindahkan ke sekolah alternatif dengan bantuan beberapa trak polis dari IPD Kubang pasu.
Waris dan ibu bapa pelajar turut membantu memindahkan pelajar ke SMK Bandar Baru Darulaman bagi menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 2 petang ini.
JPN Kedah dalam kenyataan memaklumkan terdapat 163 calon SPM di SMK Jitra, termasuk calon persendirian.
Menurutnya, SMK Bandar Baru Darulaman disediakan lebih awal sebagai pusat peperiksaan alternatif dan proses pemindahan pelajar berjalan lancar tanpa sebarang insiden keselamatan.
“JPN Kedah menzahirkan penghargaan kepada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, pasukan keselamatan dan semua pihak yang membantu memastikan perjalanan peperiksaan SPM dapat diteruskan tanpa gangguan demi kepentingan calon.”