RMK13: Insentif TVET bantu anak muda belajar tanpa beban kewangan

RMK13: Insentif TVET bantu anak muda belajar tanpa beban kewangan

Naib Canselor UTeM Massila Kamalrudin berkata insentif diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan galakkan penyertaan belia ke TVET yang laluan kerjayanya luas.

Semalam, Anwar Ibrahim mengumumkan pengenalan Skim Pembiayaan Perkasa program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Madani dan Dana Latihan TVET dalam RMK13. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Anak muda luar bandar berpeluang mengikuti pengajian dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) tanpa menanggung beban kewangan berat menerusi pelbagai insentif menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK).

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Skim Pembiayaan Perkasa program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Madani dan Dana Latihan TVET bagi menggalakkan penyertaan belia.

Massila Kamalrudin
Massila Kamalrudin.

Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Massila Kamalrudin berkata melalui pembiayaan menyeluruh yang bukan sahaja menampung yuran latihan tetapi juga kos sara hidup, belia B40 dan M40 kini mampu menuntut ilmu tanpa beban kewangan berat.

Menurutnya, sebagai tambahan kerjasama bersama industri menerusi Dana Latihan TVET akan memanfaatkan peserta yang dibekalkan kemahiran relevan dengan keperluan pasaran semasa serta berimpak tinggi seperti kenderaan elektrik (EV), automasi, tenaga boleh diperbaharui, semi konduktor dan kecerdasan buatan (AI).

“Pendekatan TVET bergerak dan pusat latihan satelit membolehkan latihan dibawa masuk ke kampung-kampung, pulau-pulau serta komuniti Orang Asli yang selama ini sukar mengakses institusi TVET.

“Pendekatan ini membuktikan tiada sesiapa harus dipinggirkan daripada arus pembangunan negara,” katanya dalam rencana berkait TVET yang mengulas pengumuman Anwar berhubung sektor TVET dalam rancangan terbaru kerajaan itu.

Massila berkata TVET kini menjadi pilihan orang muda kerana keunikannya dari segi laluan kerjaya yang lebih jelas.

“Graduan TVET bukan sahaja menerima sijil, tetapi turut dijamin peluang pekerjaan melalui kerjasama erat bersama industri dan laluan akademik ke Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

“Inilah kunci untuk menjadikan TVET pilihan utama anak muda – mereka melihat masa depan yang nyata, bukan sekadar harapan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.