
Bercakap kepada FMT, Timbalan Pengerusinya Asmirul Anuar Aris berkata pihaknya bagaimanapun tidak menghalang ahli mereka menyertai himpunan dianjurkan sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro kerajaan perpaduan.
“Pihak PH tidak terlibat dengan himpunan itu walaupun dijemput, tetapi ahli-ahli dan penyokong dalam parti PH tidak dihalang menyertainya, untuk raikan demokrasi.
“Saya dimaklumkan himpunan itu dibuat oleh NGO yang mahu menuntut 10 perkara terhadap kerajaan negeri. Difahamkan antara isu yang ingin dikemukakan ialah melibatkan soal usahawan, cukai tanah, pertanian serta isu sukan,” kata pengerusi Amanah Kedah itu.
Tular hebahan awal berhubung perhimpunan berkenaan melalui platform TikTok yang didakwa anjuran Sekretariat Suara Anak Kedah, selain disebarkan penyokong kerajaan perpaduan.
Menurut maklumat tidak rasmi, program itu dirancang berlangsung di hadapan Wisma Darul Aman pada 2 petang dengan kehadiran beberapa NGO serta orang perseorangan bagi menyerahkan memorandum.
Bagaimanapun Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah berkata sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang makluman rasmi berhubung penganjuran program itu.
Katanya, beliau hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial dan belum menerima maklumat lanjut secara rasmi daripada pihak penganjur.