Perlu RM1 juta pertahan 1 kerusi Parlimen, Sanusi beritahu ahli PAS

Perlu RM1 juta pertahan 1 kerusi Parlimen, Sanusi beritahu ahli PAS

Pengarah pilihan raya PAS kecewa ada calon yang bergantung kepada peralatan disediakan parti tanpa menyumbang dari segi kewangan.

Sanusi Md Nor
Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor berkata beberapa unit PAS kini diminta mengumpul sekurang-kurangnya RM1,200 bagi setiap daerah mengundi untuk menampung kos mobilisasi asas.
ALOR SETAR:
Pengarah Pilihan Raya PAS, Sanusi Nor menggesa penyokong dan ahli parti itu menyumbang lebih banyak menjelang PRU16 kerana parti itu tidak boleh bergantung kepada derma RM20 lagi.

Menteri besar Kedah itu berkata, kos berkempen untuk sebuah kerusi Parlimen kini mungkin mencecah RM1 juta dan mempertahankan kerusi sedia ada lebih sukar daripada memenanginya.

“Janganlah minta derma bagi RM20. Bagilah banyak sikit. Satu kerusi Parlimen tuan-tuan pada masa akan datang (memerlukan kos) RM1 juta,” katanya pada Muktamar Tahunan PAS ke -71 di sini.

Beliau berkata, ia mengecewakan kerana ada calon yang bergantung kepada peralatan disediakan parti tanpa menyumbang dari segi kewangan.

“Nak jadi ketua duit tak dak, jentera pun tak dak…kita semua…jangan sampai kita ungkit. Rakan-rakan yang tak bayar duit, tak dak peralatan…gantunglah kain batik dan kain pelikat.”

Sanuri berkata, beberapa unit PAS kini diminta mengumpul sekurang-kurangnya RM1,200 bagi setiap daerah mengundi untuk menampung kos mobilisasi asas.

Menurutnya, ahli PAS di setiap peringkat juga perlu mengutamakan persiapan pilihan raya dalam setiap mesyuarat parti.

“Mulai hari ini, semua peringkat PAS mesti letak agenda persiapan pilihan raya.”

Katanya, tanpa kawalan ke atas teknologi dan peralatan digital, PAS perlu bergantung kepada kaedah kempen yang mahal dan ketinggalan zaman.

Beliau memberi amaran PAS juga perlu mengawal ruang media atau berisiko naratifnya dirampas akaun media sosial “palsu”.

“Kalau kita tak kuasai media hari ini, maka politik kita akan ditentukan oleh ‘fake’ akaun,” katanya sambil menambah media sosial, saluran konvensional dan platform baharu yang memerlukan dana besar, perlu dimasukkan dalam strategi komunikasi parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.