6 ditahan, diesel bersubsidi lebih RM500,000 dirampas

6 ditahan, diesel bersubsidi lebih RM500,000 dirampas

Komander PPM Wilayah 4 Sabah berkata dua kapal aktif menjual diesel bersubsidi secara haram kepada pelbagai kapal di perairan Kota Kinabalu.

Sindiket penyelewengan
Pasukan Polis Marin menyerbu sebuah daripada dua kapal membawa muatan diesel bersubsidi disyaki untuk kegiatan penyelewengan. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Pasukan Polis Marin (PPM) menahan enam lelaki tempatan dan merampas diesel bersubsidi bernilai lebih RM500,000 di Kota Kinabalu semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Nazri Ibrahim, berkata dua kapal diserbu dan enam kru berusia 25 hingga 43 tahun ditahan dalam operasi bersepadu pada 4.30 pagi Khamis hasil risikan serta pemantauan hampir sebulan pihaknya.

Menurutnya 250,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM535,350 yang disyaki bagi tujuan penyelewengan dirampas bersama dua kapal, pelbagai peralatan dan beberapa dokumen berkaitan.

Beliau berkata, maklumat awal mendapati dua kapal itu aktif menjalankan transaksi penjualan diesel bersubsidi secara haram kepada pelbagai kapal di perairan Kota Kinabalu.

“Sindiket seleweng diesel ini yang terbesar di Kota Kinabalu dan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM45,590,150,” katanya menurut Harian Metro.

Dalam perkembangan lain, Nazri berkata, PPM merekodkan 119 kes penyelewengan petrol dan diesel membabitkan rampasan RM81,254,966.84 bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Dalam tempoh sama, 135 individu turut ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan penyelewengan ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.