Tembakan dalam rumah, Revolver ditemukan 2 beradik direman

Tembakan dalam rumah, Revolver ditemukan 2 beradik direman

Empat peluru ditemui dalam sebuah rumah di Bidor, Perak.

Ketua Polis Tapah Johari Yahya, berkata dua beradik berusia 45 dan 46 tahun itu direman sehingga 6 Ogos susulan penemuan Revolver .38 Smith. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Bunyi letupan membawa penangkapan dua beradik bersama sepucuk pistol Revolver .38 Smith dan empat peluru, dalam kejadian di Kampung Belakang Pasar Bidor, Perak.

Ketua Polis Tapah Johari Yahya, berkata laporan letupan dibuat seorang penduduk pada 9.20 malam semalam dengan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tapah dan pasukan forensik ke lokasi kejadian.

Katanya, hasil pemeriksaan di sebuah rumah mendapati terdapat sebutir kelonsong berada dalam ‘chamber’, selain kesan serpihan selak peluru di ruang tamu bahagian atas dan bawah kediaman itu akibat tembakan.

“Hasil semakan mendapati mereka mempunyai masing-masing enam dan empat rekod melibatkan kes jenayah dan narkotik.

“Dua adik beradik berusia 45 dan 46 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Tapah dan dibenarkan reman tujuh hari bermula hari ini sehingga 6 Ogos,” katanya dalam kenyataan sambil menyatakan seorang daripadanya positif methamphetamin.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Nurfarah Idayu Mazlan di talian 03-4011222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.