Kenapa MIC tak keluar kerajaan jika tahu ditipu, Puad soal Saravanan

Kenapa MIC tak keluar kerajaan jika tahu ditipu, Puad soal Saravanan

Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata MIC tidak mempunyai kekuatan politik untuk meninggalkan kerajaan perpaduan meskipun mendakwa dikelirukan mengenai jawatan Kabinet.

Puad Zarkashi dari Umno (kiri) membidas Timbalan Presiden MIC M Saravanan berhubung dakwaan parti itu telah diketepikan oleh kerajaan perpaduan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno membidas Timbalan Presiden MIC, M Saravanan dengan mempersoalkan parti itu tidak keluar kerajaan perpaduan jika benar ‘ditipu bulat-bulat’ mengenai jawatan dalam Jemaah Menteri.

Dalam catatan di Facebook, Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Puad Zarkashi mendakwa MIC takut kehilangan segalanya dan tidak mempunyai kekuatan politik untuk membuat tuntutan atau ugutan.

“Kalau sudah tahu ditipu kenapa tidak lari. Kenapa terus hulur tengkuk? Itu membuktikan Sarvanan sebenarnya mengugut. Nampak garang tetapi penakut.

“Kenapa takut. Kerana MIC hanya ada satu MP. Tidak cukup kuat untuk lari atau tarik sokongan. Dia takut, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran,” kata Puad.

Saravanan, satu-satunya Ahli Parlimen MIC dalam temu bual bersama Utusan Malaysia baru-baru ini berkata parti itu berasa tidak dihargai kerana tidak diberi sebarang jawatan dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) walaupun mempunyai pemimpin kanan.

Beliau berkata MIC akan membuat keputusan mengenai langkah seterusnya selepas mesyuarat agung tahunan pada Oktober.

Namun Puad berpandangan lebih baik MIC kekal bersama Barisan Nasional (BN) daripada membuat ugutan yang tidak mampu dilakukannya.

“Mengugut dengan ‘bargaining power’ yang lemah tidak berkesan. Satu kerusi Tapah tidak cukup kuat untuk MIC. Lebih baik MIC kekal dalam BN,” katanya sambil menambah MIC perlu bangkit dengan kekuatan sebenar bukan ‘ugutan’.

Saravanan kemudiannya membalas kenyataan Puad di ruangan komen dengan berkata bahawa Puad terlewat kerana Presiden Umno Zahid Hamidi telah pun memberikan jawapan berhubung isu itu.

“Awak ingat ada orang peduli komen awak? Hanya cybertrooper awak saja yang sokong,” katanya.

“Awak tak sedar ke parti awak sendiri pun dah ditolak oleh orang Melayu? Perikatan Nasional menang semua kerusi majoriti Melayu.”

Saravanan turut memberi amaran kepada Puad mengenai akibat sekiranya MIC dan MCA keluar daripada BN: “Daripada 26 kerusi sekarang, berapa kerusi yang parti awak boleh menang nanti?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.